AKSI Ecuador menentang Brazil pada 28 Jun 2021.
AKSI Ecuador menentang Brazil pada 28 Jun 2021.
Agensi

London: Ecuador mungkin disingkirkan daripada Piala Dunia susulan dakwaan mereka menurunkan pemain tidak sah dalam aksi kelayakan untuk ke Qatar.

FA Ecuador disiasat Fifa selepas terdapat dakwaan pemain pertahanan, Byron Castillo memasukan dokumen kelahiran dan sebenarnya dia rakyat Colombia.

Chile mendakwa mempunyai bukti Castillo dilahirkan di Tumaco, Colombia pada 1995 dan bukannya di bandar Ecuador, General Villamil Playas pada 1998 seperti tercatat dalam dokumennya.

Laporan terbaru daripada Mundo Deportivo yang dipetik Daily Mail mendakwa Fifa sedia menyingkirkan Ecuador selepas menamatkan penyiasatan dengan pengumuman rasmi akan dibuat beberapa hari lagi.

Ecuador menempah tiket ke Piala Dunia Qatar selepas menamatkan kedudukan di tangga keempat dalam aksi kelayakan Amerika Selatan.

Manakala Chile gagal mara selepas menduduki tangga ketujuh, dua tangga di bawah pasukan tangga kelima, Peru dan Colombia turut gagal layak selepas berakhir di tempat keenam.

Laporan turut mendakwa Itali berpeluang mara ke Piala Dunia jika Fifa menyingkirkan Ecuador.

Itali gagal ke Qatar selepas tewas kepada Macedonia Utara dalam aksi playoff pada Mac lalu tetapi juara Eropah itu mungkin ditawarkan tempat jika Fifa memberi slot Ecuador kepada pasukan yang mempunyai ranking dunia paling tinggi.

Itali kini menduduki ranking keenam manakala Colombia ke-17 dan Chile (28).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Jun 2022 @ 7:12 PM