AKSI Giroud meledak gol keempat Perancis. FOTO AP
AKSI Giroud meledak gol keempat Perancis. FOTO AP
AFP

Doha: Olivier Giroud menyamai rekod Thierry Henry sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman Perancis selepas dua jaringannya membantu juara bertahan bangkit menewaskan Australia 4-1 dalam aksi pembukaan mereka di Piala Dunia awal pagi tadi.

Australia membuat kejutan apabila mendahului di Stadium Al Janoub menerusi Craig Goodwin pada minit ke-9 namun Adrien Rabiot menyamakan kedudukan sebelum Giroud meletakkan Perancis di depan dengan jaringan mudah pada minit ke-32 untuk gol antarabangsanya ke-50.

Kylian Mbappe turut membolosi gawang lawan pada babak kedua dan Giroud mengesahkan kemenangan untuk menyamai rekod 51 jaringan milik Henry.

Kemenangan besar itu membolehkan mereka menduduki tangga teratas Kumpulan D selepas Denmark dan Tunisia seri 0-0.

"Sangat bagus dapat empat gol malah kami sepatutnya dapat lebih lagi. Ini permulaan cemerlang bagi kami," kata jurulatih Perancis, Didier Deschamps.

Pada usia 36 tahun, penyerang veteran AC Milan, Giroud yang mempunyai 115 kap muncul pemain tertua menjaringkan gol untuk Perancis di Piala Dunia.

Dia hampir tidak dapat beraksi di Doha jika Karim Benzema cergas sepenuhnya dan ketiadaan pemenang Ballon d'Or itu yang mengalami kecederaan paha menjelang kejohanan memberi peluang kepada Giroud yang menjadi tonggak Perancis menjuarai Piala Dunia 2018 tetapi tidak menjaringkan gol di Rusia.

"Dia berhak mendapat pujian hasil prestasi terbaik di peringkat tertinggi sejak sekian lama dan menunjukkannya ketika tiada siapa kurang yakin dengannya," kata rakan sepasukan, Benjamin Pavard.

"Saya sangat bangga untuknya kerana dia pemain hebat dan saya harap dia terus konsisten dan mencipta lebih rekod."

Selain Benzema tidak beraksi di Doha, Perancis turut kehilangan Paul Pogba dan N'Golo Kante, dua pemain tengah utama mereka sejak empat tahun lalu.

Pertahanan tengah, Raphael Varane tidak diturunkan bagi mengelak risiko selepas berehat panjang sejak mengalami kecederaan kaki ketika beraksi bersama Manchester United hampir sebulan lalu.

Dayot Upamecano dan Ibrahima Konate dengan masing-masing memiliki sembilan kap digandingkan bersama di bahagian pertahanan manakala Rabiot bersama Aurelien Tchouameni memperkasakan jentera tengah Perancis.

Di sebalik ketiadaan beberapa tonggak dan selepas apa yang menimpa Argentina semalam, ia detik cemerlang buat Perancis dan Australia mengakui jurang besar memisahkan mereka dengan gergasi Eropah itu.

"Keseluruhannya pemain saya melakukan apa yang termampu dan itu sahaja saya dapat minta daripada mereka," kata jurulatih Socceroos, Graham Arnold.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 November 2022 @ 7:50 AM