MBAPPE ketika sesi latihan Perancis di Stadium Jassim-bin-Hamad.
MBAPPE ketika sesi latihan Perancis di Stadium Jassim-bin-Hamad.
Agensi

Doha: Jurulatih Perancis, Didier Deschamps memuji sumbangan Kylian Mbappe ketika pasukannya bangkit menewaskan Australia 4-1 pada aksi pertama mereka di Piala Dunia dan berharap penyerang itu dapat mengulanginya ketika menentang Denmark, awal pagi Ahad.

Mbappe mungkin menjaringkan satu gol sahaja tetapi dia memainkan peranan penting sepanjang perlawanan dengan mempamerkan kelincahan dan kepantasan yang gagal dikekang Socceroos.

Bintang Paris Saint-Germain itu yang turut mendapat pujian Vincent Kompany menjaringkan gol pada final Piala Dunia 2018 ketika Perancis menewaskan Croatia dan pengendali Les Bleus, Deschamps yakin Mbappe mampu menyinar sekali lagi.

"Kylian sudah tentu antara pemain terbaik di dunia dan berasa sangat yakin dan anda boleh melihatnya ketika dia beraksi," kata Deschamps.

"Saya tahu dia sudah bersedia hadapi Piala Dunia itu. Ini kejohanan dia, dia tahu cara membuat perbezaan. Saya mempunyai banyak penyerang lain tapi Kylian sudah tentu paling menyerlah.''

Namun, Deschamps turut mengagumi ketajaman penyerang veteran Olivier Giroud, 36, yang meledak dua gol ketika menentang Australia sekali gus menyamai rekod milik Thierry Henry sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman Perancis dengan 51 jaringan.

"Saya tak tahu sama ada dia benar-benar memikirkan rekod itu. Dia kekal fokus apa dilakukan di atas padang dan sangat efektif," kata Deschamps mengenai Giroud yang hanya disenaraikan selepas penyerang Real Madrid dan pemenang Ballon d'Or, Karim Benzema mengalami kecederaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 November 2022 @ 12:32 PM