RODRIGUEZ menjadi sandaran utama di bahagian serangan. FOTO Ihsan Sri Pahang FC
RODRIGUEZ menjadi sandaran utama di bahagian serangan. FOTO Ihsan Sri Pahang FC
Asrol Awang


Kuantan: Sri Pahang FC yang tewas dalam dua perlawanan berturut-turut mahu mencatat kemenangan apabila berdepan Sarawak United di Stadium Negeri, malam esok.

Biarpun tuan rumah dilihat berada pada prestasi tidak menentu, skuad Tok Gajah tetap berhati-hati dengan corak permainan Sarawak United.

Pengendali Sri Pahang, Datuk Dollah Salleh berkata, anak buahnya tidak boleh menganggap laluan mudah selepas lawan tewas dengan jaringan besar 0-5 kepada Kuala Lumpur City FC, Rabu lalu.

"Pemain perlu memanfaatkan segala peluang yang ada dan tidak melakukan kesilapan mudah ketika pasukan mahu mencatat kemenangan.

"Pada masa sama, tuan rumah pasti mahu menebus kekalahan dan segalanya perlu dipersembahkan dengan prestasi dan disiplin tinggi," katanya.

Selepas mengharungi 18 perlawanan, Sri Pahang berada di kedudukan ketujuh dengan mengutip 21 mata berbanding Sarawak United pula di kedudukan tercorot liga dengan 14 mata daripada 19 perlawanan.

Mengulas persediaan skuad Tok Gajah, Dollah bersyukur kerana anak buahnya bebas daripada masalah kecederaan.

Katanya, segalanya mengikut perancangan kecuali tanpa kelibat pemain tengah, Nor Azam Azih yang digantung satu perlawanan akibat mengutip tiga kad kuning.

"Namun, bagi saya misi utama pasukan ialah untuk kembali mencatat kemenangan selepas tewas dua perlawanan berturut-turut sebelum liga berehat," katanya.

Pada perlawanan itu, gandingan Steven Rodríguez dan Abdul Malik Mat Ariff terus menjadi sandaran untuk mengetuai jentera serangan Tok Gajah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 September 2022 @ 12:34 PM