AKSI antara Sri Pahang menentang Sarawak United semalam. FOTO Bernama
AKSI antara Sri Pahang menentang Sarawak United semalam. FOTO Bernama
Asrol Awang


Kuantan: Pengendali Sri Pahang FC, Datuk Dollah Salleh tidak menyembunyikan perasaan gembira selepas skuad itu menewaskan Sarawak United 4-1 di Stadium Negeri, Kuching malam tadi.

Katanya, kemenangan itu juga menebus kekecewaan selepas tewas pada dua perlawanan berturut-turut sebelum ini ketika berdepan Terengganu FC (TFC) 1-2 dan Kuala Lumpur City FC (0-2).

"Sebenarnya pujian harus diberikan kepada semua pemain kerana mempamerkan semangat juang tinggi walaupun tidak beraksi pada prestasi terbaik.

"Dengan tuan rumah yang dilihat berdepan dengan masalah, kita berjaya memanfaatkan segala peluang yang ada.

"Alhamdulillah, misi kemenangan terlaksana selepas tewas pada dua perlawanan sebelum ini," kata bekas pemain kebangsaan itu.

Pada perlawanan itu, empat gol Sri Pahang, masing-masing dua gol dijaringkan oleh Steven Rodriguez pada minit ke-58 dan 78 manakala satu gol lagi oleh David Rowley dan Zuhair Aizat Nazri minit ke-37 dan 90.

Gol tunggal Sarawak United pula dijaringkan Zahrul Nizwan Joe Kifli pada minit ke-45.

Dollah berkata, kemenangan itu juga memberi suntikan semangat untuk mempamerkan aksi lebih baik pada tiga baki perlawanan Liga Super musim ini.

Pada masa sama, katanya, keputusan positif itu juga membantu skuad Tok Gajah untuk menghadapi kempen Piala Malaysia musim ini.

"Sememangnya aksi malam ini adalah persediaan awal tetapi keutamaan adalah menamatkan saingan Liga Super pada kedudukan terbaik," katanya.

Selepas mengharungi 19 perlawanan, Sri Pahang berada di kedudukan ketujuh liga dengan mengutip 24 mata.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Oktober 2022 @ 3:20 PM