PENGENDALI Sri Pahang FC, Datuk Dollah Salleh. FOTO Asrol Awang
PENGENDALI Sri Pahang FC, Datuk Dollah Salleh. FOTO Asrol Awang
Asrol Awang


Kuantan: Di sebalik kejayaan mencatat dua kemenangan berturut-turut, Datuk Dollah Salleh mengakui Sri Pahang FC perlu tampil dengan corak permainan konsisten.

Ini kerana skuad Tok Gajah akan mengharungi cabaran besar apabila beraksi dalam tiga perlawanan berturut-turut di tempat lawan selepas ini.

Perlawanan itu membabitkan pertemuan dengan PJ City FC di Stadium MBPJ Selasa ini, diikuti berdepan Melaka United pada 13 Ogos dan Penang FC (18 Ogos).

Justeru, pengendali Sri Pahang itu berkata, anak buahnya tidak boleh keciciran mata dalam usaha meletakkan skuad pada kedudukan terbaik.

"Memang saya memikirkan cabaran yang bakal dihadapi pemain tetapi kami perlu melaluinya sebaik mengetahui perlu bermain dalam tiga perlawanan berturut-turut di tempat lawan.

"Mahu atau tidak kami tidak boleh kecicran mata dan saya serta Fandi Ahmad (penasihat teknikal) dan barisan kejurulatihan akan memastikan segalanya mengikut perancangan.

"Pada masa sama, pasukan lain juga ada yang menghadapi situasi sama dan kami perlu lebih bersedia terutama memastikan prestasi terbaik dapat dipersembahkan pada setiap perlawanan," katanya.

Tidak mahu terlalu menumpukan kepada tiga perlawanan itu, Dollah mahu anak buahnya memberikan tumpuan sepenuhnya apabila berdepan PJ City Selasa ini.

Katanya, persembahan yang menyakinkan ketika menewaskan Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Selangor FC perlu dikekalkan.

"Biarpun prestasi semasa belum mencapai tahap yang diinginkan, semua pemain perlu meneruskan rentak kemenangan," katanya.

Selepas mengharungi 13 perlawanan, skuad Tok Gajah berada di kedudukan kesembilan liga dengan 14 mata.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Ogos 2022 @ 8:11 PM