MBAPPE (kanan) membuka jaringan buat Perancis pada minit ke-56. FOTO Reuters
MBAPPE (kanan) membuka jaringan buat Perancis pada minit ke-56. FOTO Reuters
Reuters

Paris: Perancis menghidupkan peluang untuk terus kekal di divisyen teratas Liga Negara-Negara apabila jaringan Kylian Mbappe dan Olivier Giroud memastikan kemenangan 2-0 di laman sendiri ke atas Austria hari ini.

Mbappe menghasilkan rembatan cantik sebelum pemain berusia 35 tahun, Giroud mengesahkan kemenangan melalui tandukan untuk menjadi pemain paling tua meledak gol buat Perancis.

Juara Piala Dunia itu, yang akan berkunjung ke Denmark Isnin ini, naik ke tangga ketiga Kumpulan 1 dengan mengumpul lima mata daripada lima perlawanan.

Bagaimanapun, kemenangan itu terpaksa dibayar dengan harga mahal, apabila pertahanan Jules Kounde dan penjaga gol, Mike Maignan mengalami kecederaan.

Mereka bakal menyertai Karim Benzema, Hugo Lloris dan Paul Pogba yang tidak dapat diturunkan.

Jurulatih Perancis, Didier Deshcamps berpuas hati dengan persembahan di hadapan penonton yang luar biasa dan penuh bersemangat.

"Kami melakukan apa yang sepatutnya kami lakukan. Tumpuan yang diberikan sangat baik, semua pemain banyak bertahan, banyak yang positif. Ia adalah persembahan yang sangat baik," kata juara Piala Dunia 1998 itu.

Tuan rumah sebelum ini tumpas dua kali dan seri dua kali, namun mereka bangkit semula dengan melancarkan serangan bertali-arus di Stade de France.

Mbappe memecahkan kebuntuan hasil penyudah cantik selepas menumpaskan lima pertahanan selain hantaran sempurna daripada Giroud.

Giroud menemui sasaran pada minit ke-65 selepas menerima hantaran lintang Antoine Griezmann untuk gol antarabangsa ke-49, hanya kurang dua daripada rekod terbanyak yang dilakarkan Thierry Henry.

Giroud 70 hari lebih tua berbanding Roger Marche yang meledak jaringan untuk Perancis ketika menentang Sepanyol pada 1959.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 September 2022 @ 8:50 AM