CAMAVINGA (kiri) meraikan jaringannya bersama Giroud. FOTO AFP
CAMAVINGA (kiri) meraikan jaringannya bersama Giroud. FOTO AFP
AFP

Paris: Juara dunia, Perancis membelasah Ukraine 7-1 pada perlawanan persahabatan di Stade de France hari ini dengan muka baharu, Eduardo Camavinga serta pemain veteran, Olivier Giroud menjadi watak penting kemenangan itu.

Camavinga yang berusia 17 tahun menyaksikan dirinya muncul pemain termuda menjaringkan gol untuk Perancis sejak seabad lalu apabila menyumbang gol pembukaan minit ke-9.

Didier Deschamps memberi kepercayaan kepada Giroud selaku kapten dan penyerang Chelsea itu membalasnya dengan menjaringkan dua gol pada babak pertama di minit ke-24 dan 34.

Jaringan sendiri pemain Ukraine, Vitaliy Mykolenko menyaksikan Perancis selesa mendahului 4-0.

Pada separuh masa kedua, Kylian Mbappe pula meledak gol minit ke-82 sebelum bintang Bayern Munich, Corentin Tolisso dan penyerang Barcelona, Antoine Griezmann masing-masing turut mencetak gol.

Dua gol yang dijaringkan oleh Giroud menjadikannya penjaring kedua terbanyak Perancis sekali gus mengatasi rekod Michel Platini.

Giroud kini meledak 42 gol, kurang sembilan gol berbanding penjaring terbanyak Perancis, Thierry Henry yang menjaringkan 51 gol.

"Saya hanya cuba beraksi pada tahap terbaik dan sama-sama kita melihat sampai ke tahap mana saya boleh capai," kata Giroud.

Perancis akan bertemu juara Eropah, Portugal di Paris, Ahad ini pada saingan Liga Negara-Negara sebelum bertemu naib juga Piala Dunia, Croatia di Zagreb, Rabu depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Oktober 2020 @ 7:26 AM