HAALAND ledak 12 gol bersama City setakat ini.
HAALAND ledak 12 gol bersama City setakat ini.
AFP

Manchester, United Kingdom: Borussia Dortmund sangat mengetahui kemampuan Erling Haaland memusnahkan pertahanan lawan dan gergasi Jerman itu bakal menerima padah jika membiarkan pemain muda itu tidak dikawal ketat ketika kunjungan mereka ke Manchester City dalam aksi Liga Juara-Juara (UCL) awal pagi Khamis ini.

Haaland yang berusia 22 tahun muncul antara penyerang paling digeruni di dunia sepanjang dua setengah tahun di Jerman apabila meledak 86 gol dalam 89 perlawanan untuk Dortmund.

Kini bersama City, penyerang Norway itu sudah menjaringkan 12 gol untuk juara Inggeris itu.

"Jumlah jaringan dalam kariernya di sini dan ketika juga bersama pasukan lama nampak persamaan," kata pengurus City, Pep Guardiola selepas Haaland menjaringkan dua gol ketika menewaskan Sevilla 4-0 dalam aksi pertama City dalam saingan UCL musim ini.

"Dia mempunyai naluri pemusnah yang hebat."

Dua jaringan ketika menentang Sevilla membolehkan Haaland mengumpul 25 gol dalam 20 aksi UCL.

Pada peringkat sama, penyerang Manchester United, Cristiano Ronaldo yang juga penjaring terbanyak UCL dengan 140 gol belum menjaringkan gol manakala Messi meledak lapan kali dalam 20 perlawanan pertama dalam kejohanan elit Eropah.

"Saya sukakan Liga Juara-Juara. Ia kejohanan pilihan saya dan impikan kejuaraan itu," kata Haaland.

Di bawah kendalian Guardiola, City menang empat gelaran Liga Perdana sejak lima tahun lalu namun masih gagal menjulang trofi UCL dan impian mereka semakin menyala dengan kehadiran Haaland.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 September 2022 @ 11:06 AM