GUSTAVO menyumbangkan dua gol untuk memastikan NSFC merangkul kemenangan ke-10. FOTO FB NSFC
GUSTAVO menyumbangkan dua gol untuk memastikan NSFC merangkul kemenangan ke-10. FOTO FB NSFC
Mohd Amin Jalil


Seremban: Negeri Sembilan FC (NSFC) melakar kemenangan ke-10 musim ini selepas menewaskan Sarawak United FC, 3-2, dalam aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam ini.

Kemenangan itu membolehkan skuad Hobin Jang Hobin mengumpul 35 mata untuk mengukuhkan kedudukan di tempat ketiga liga, sekali gus mengekori rapat Sabah FC di tempat kedua.

NSFC beberapa kali menguji gawang Sarawak menerusi percubaan Matheus Alves dan Gustavo Dos Santos dan Gustavo menanduk masuk gol pertama pada minit ke-17.

Bagaimanapun kelebihan tuan rumah itu tidak berpanjangan apabila pelawat menyamakan kedudukan menerusi jaringan Raja Imran Shah Raja Amin pada minit ke-30.

Keadaan padang basah susulan hujan lebat sekitar Seremban sejak 5 petang hingga 8 malam, merencatkan pergerakan pemain kedua-dua pasukan.

Sebaik bersambung babak kedua perlawanan, anak buah buah K Devan dilihat berusaha menggandakan asakan dan Gustavo meledak gol kedua perlawanan dan kelapan peribadinya musim ini pada minit ke-66.

Alves menambah derita Sarawak selepas dia memanfaatkan sepakan sudut dengan meledak gol ketiga NSFC pada minit ke-79.

Sarawak merapatkan jurang menerusi gol kedua hasil jaringan pemain gantian Nur Shamie Iszuan Amin minit ke-85.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 September 2022 @ 10:25 PM