Aksi kapten NSFC, Zaquan Adha Abd Radzak (kanan) cuba diberi tekanan oleh pemain Perak II dalam aksi Liga Perdana di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi. FOTO Ihsan NSFC
Aksi kapten NSFC, Zaquan Adha Abd Radzak (kanan) cuba diberi tekanan oleh pemain Perak II dalam aksi Liga Perdana di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi. FOTO Ihsan NSFC
Mohd Amin Jalil


Seremban: Negeri Sembilan FC (NSFC) berjaya merampas takhta Liga Perdana daripada Terengganu FC II (TFC II) buat seketika, selepas mencatat kemenangan besar 5-0, ke atas Perak II, dalam aksi di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, sebentar tadi.

NSFC kini mengumpul 26 mata berbanding TFC II, 25 mata. Ia adalah jaringan terbesar yang pernah dicatatkan pasukan itu selepas mengharungi 14 perlawanan musim ini.

NSFC yang tampil dengan misi memburu kemenangan selepas dua aksi terdahulu sekadar mengutip satu mata, terpaksa menunggu di minit ke-19 untuk mendapatkan gol yang dicari.

Sepakan bola mati oleh kapten pasukan Mohamad Zaquan Adha Abd Radzak dari jarak kira-kira 25 meter disambut baik Nasrullah Haniff Johan, yang kemudian menolak masuk ke gawang Perak II, menewaskan penjaga gol pasukan itu, Ahmad Syazwan Syazany Ahmad Shafei, untuk gol pertama NSFC.

Jaringan itu bagaimanapun dilihat tidak melemahkan semangat anak buah Syamsul Mohd Saad yang melancarkan serangan balas ke kawasan tuan rumah.

Pada minit ke-21, gawang skuad Hobin Jang Hobin nyaris bolos apabila tandukan Muhamad Nazirul Alif Ibrahim yang menerima bola hantaran dari sebelah kanan, terkena palang.

Tersentak dengan serangan balas pelawat itu, NSFC kembali menggandakan asakan ke kubu Perak II dan berjaya mendapatkan gol kedua.

Jaringan itu terhasil menerusi pemain baharu, N Javabilaarivin yang berjaya memperdayakan pertahanan lawan dengan menolak masuk menggegar gawang pada minit ke-32.

Alain Theirry Akono Akono kemudiannya melebarkan lagi jurang antara kedua-dua pasukan apabila meledak gol ketiga Negeri Sembilan pada minit ke-41.

Dia menyambut dengan baik sepakan bola mati Zaquan Adha ke dalam kawasan gol dan dengan mudah menewaskan Ahmad Syazwan.

Empat minit kemudian, pemain import terbaharu NSFC, Kouassi Kone mengukuhkan cengkaman tuan rumah apabila berjaya memperdayakan bahagian pertahanan pelawat dengan menjaringkan gol keempat pada minit ke-45.

Bersambung babak kedua, Perak II dilihat cuba untuk bangkit bagi mendapatkan gol, bagaimanapun serangan yang cuba dilakukan mudah dinafikan bahagian pertahanan tuan rumah.

Sebaliknya, Zaquan Adha menambah derita Perak II menerusi gol kelima NSFC pada minit ke-81.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Julai 2021 @ 11:20 PM