DEVAN puas hati dengan penampilan Alves (kiri) apabila kembali menemui sentuhan gol. FOTO Ihsan NSFC
DEVAN puas hati dengan penampilan Alves (kiri) apabila kembali menemui sentuhan gol. FOTO Ihsan NSFC
Mohd Amin Jalil


Seremban: Ketua jurulatih Negeri Sembilan FC (NSFC) K Devan, akui gembira dengan penampilan penyerang utama, Matheus Alves, yang mendapat semula sentuhan gol selepas tidak berjaya melakukannya dalam beberapa perlawanan Liga Super sebelum ini.

Alves menjaringkan satu gol bagi membantu Negeri Sembilan melakar kemenangan ke atas Penang FC, 3-2, dalam perlawanan yang mendebarkan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, kelmarin.

Menurut Devan, adalah satu kelebihan bagi seseorang penyerang apabila dapat menjaringkan gol kerana ia dapat meningkatkan lagi keyakinan diri mereka untuk melakukan persembahan terbaik.

"Jaringan yang dibuat itu akan dapat menjadi perangsang untuk beliau terus berusaha melakukan persembahan terbaik pada setiap perlawanan bagi mendapatkan gol.

"Alves seorang penyerang yang baik dan pengalaman yang dimilikinya membuatkan dia boleh mencipta peluang dan seterusnya menjaringkan gol dalam apa juga situasi.

"Saya gembira dengan prestasi dan persembahan Alves setakat ini apabila dia kembali menjaringkan gol dan turut mencipta beberapa peluang jaringan selain membantu rakan sepasukan untuk menjaringkan gol," katanya di sini, hari ini.

Berdasarkan rekod, Alves yang berasal dari Brazil menjaringkan 18 gol melalui 21 penampilan bersama Pahang pada 2017.

Bergandingan dengan Gustavo Al-Meida Santos, pemain berpengalaman berusia 29 tahun itu sentiasa beraksi di tahap kompetitif ternyata memberi impak positif kepada barisan depan skuad Hobin Jang Hobin.

Reputasi dimiliki pemain itu membuatkan pertahanan pasukan lawan sentiasa memberikan perhatian terhadap setiap gerakannya.

"Saya berharap Alves dapat terus mengekalkan prestasi terbaiknya dan menjaringkan gol pada perlawanan-perlawanan yang akan datang," kata Devan.

Dalam pada itu, beliau yang juga pengurus pasukan mahu anak buahnya kekal fokus kerana masih terdapat baki tujuh perlawanan yang perlu diharungi sebelum Liga Super musim ini melabuhkan tirainya.

Menurutnya, pasukan perlu kekalkan persembahan terbaik dan mencatat kemenangan pada baki perlawanan untuk kekal di kedudukan ketiga carta liga.

"Kita perlu kekal fokus dan pastikan kemenangan dicapai untuk kekal di tempat ketiga carta. Pasukan Selangor, Terengganu dan Kedah dilihat boleh mencabar kedudukan kita.

"Apapun sepanjang mengharungi 15 perlawanan liga ini, prestasi pasukan agak konsisten dan saya amat berharap prestasi ini dapat dikekalkan untuk membolehkan kita berada pada tahap yang membanggakan pada saingan musim ini," katanya.

Ketika ini, Negeri Sembilan berada di tangga ketiga carta Liga Super dengan mengumpul 29 mata hasil lapan kemenangan, lima seri dan dua tewas.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Ogos 2022 @ 3:37 PM