PEMAIN Negeri Sembilan FC meraikan kemenangan 3-2 ketika menentang Penang FC, di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi,  malam ini. FOTO Bernama
PEMAIN Negeri Sembilan FC meraikan kemenangan 3-2 ketika menentang Penang FC, di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam ini. FOTO Bernama
Mohd Amin Jalil


Seremban: Negeri Sembilan FC (NSFC) melebarkan rekod kemenangan apabila menewaskan Penang FC 3-2, dalam aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam ini.

Kemenangan itu mengukuhkan skuad Hobin Jang Hobin di tangga ketiga liga dengan mengumpul 29 mata daripada 15 perlawanan.

NSFC lebih dulu menguasai perlawanan dan pada minit ke-24, kecekapan penjaga gol Penang, Shafiq Afifi Suhaimi menafikan serangan tuan rumah apabila sepakan leret Matheus Alves, berjaya ditangkap kemas penjaga gol itu.

Bagaimanapun, Penang FC mengejutkan tuan rumah menerusi tandukan kapten, Lucas Da Silva pada minit ke-26, selepas menerima umpanan Mohd Faiz Subri.

Bagaimanapun, kelebihan itu tidak bertahan lama apabila Mohamad Zamri Pin Ramli menyamakan kedudukan buat NSFC pada minit ke-35, selepas memanfaatkan bola lorongan Che Rashid untuk menewaskan Shafiq Afifi.

Bersambung babak kedua, NSFC menggandakan asakan dan Alves meledak gol kedua tuan rumah pada minit ke-58.

Penang FC yang dibimbing Zainal Abidin Hasan menyamakan kedudukan hasil jaringan T Saravanan pada minit ke-80.

Gol kemenangan NSFC dijaringkan Herold Goulon pada minit ke-84 selepas bijak memperdayakan dua pemain pertahanan pasukan lawan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Ogos 2022 @ 11:20 PM