GRIEZMANN (tengah) diraikan rakan sepasukan selepas menjaringkan gol Atletico. FOTO EPA
GRIEZMANN (tengah) diraikan rakan sepasukan selepas menjaringkan gol Atletico. FOTO EPA
Reuters

Madrid: Antoine Griezmann membantu kemenangan 1-0 Atletico Madrid di Valencia awal pagi tadi ketika skuad Diego Simeone bangkit daripada kekalahan mengejut di tempat sendiri selepas ditewaskan Villarreal lapan hari lalu.

Atletico menduduki tangga keenam La Liga dengan enam mata, tiga mata di belakang pendahulu Real Madrid dan Betis serta satu mata di belakang Barcelona, Villarreal dan Athletic Bilbao.

Griezmann yang masuk sebagai pemain gantian meledak gol kemenangan dengan rembatan kencang pada minit ke-66 selepas mendapat hantaran Thomas Lemar.

Dengan pemain baharu mereka, Edinson Cavani menyaksikan perlawanan di tempat duduk, Valencia pasukan lebih baik pada babak pertama.

Mereka hampir mendapatkan gol menerusi rembatan jarak jauh pemain tengah dari Amerika Syarikat, Yunus Musah minit ke-24.

Tetapi selepas reviu panjang VAR, jaringan itu dibatalkan susulan kekasaran dilakukan Mouctar Diakhaby ke atas Joao Felix sebelum itu.

Selepas rehat Simeone membawa masuk Griezmann dan Lemar sekaligus membolehkan Atletico mendominasi perlawanan.

"Kami mempunyai banyak peluang termasuk tiga yang diselamatkan penjaga gol," kata Simeone kepada Movistar Plus.

"Kami bergelut mencari rentak tetapi kemasukan Lemar dan Griezmann membolehkan perancangan berjalan lebih lancar. "

Atletico akan berdepan Real Sociedad di tempat lawan Sabtu ini manakala Valencia menerima kunjungan Getafe pada Ahad.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Ogos 2022 @ 8:41 AM