ERIKSEN bersama jersi Brentford.
ERIKSEN bersama jersi Brentford.
AFP

London: Christian Eriksen berkata dia tidak takut kembali berdepan cabaran keras bola sepak profesional tetapi mengakui perlukan 'beberapa minggu' lagi sebelum tampil kali pertama bersama Brentford.

Bintang Denmark itu menyertai The Bees pada hari terakhir jendela perpindahan Januari lalu selepas meninggalkan Inter Milan dengan persetujuan bersama Disember lalu.

Eriksen mengalami serangan jantung di atas padang ketika Euro 2020 pada Jun dan sejak itu menggunakan alat defibrilator kardioverter (ICD).

ICD tidak dibenarkan dalam bola sepak Itali tetapi dibolehkan di England sekali gus menyaksikan Eriksen kembali ke Liga Perdana selepas tujuh tahun bersama Tottenham di antara 2013 and 2020.

"Saya langsung tidak gentar mengenainya, saya tak rasa ICD dalam badan ini, jadi jika terkena asakan atau bola saya rasa ia selamat," kata Eriksen kepada BBC.

"Saya tak takut dengan cabaran akan datang dan buli dalam perlawanan, sama sekali tidak."

Eriksen tonggak skuad Mauricio Pochettino, Tottenham yang menduduki tempat kedua Liga Perdana musim 2016/17 dan mara ke final Liga Juara-Juara 2019.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Februari 2022 @ 9:10 AM