RONALDO terdesak tinggalkan Old Trafford.
RONALDO terdesak tinggalkan Old Trafford.
Agensi

London: Penyerang Manchester United Cristiano Ronaldo dilapor menawarkan diri kepada Paris Saint-Germain dalam usahanya mencari jalan keluar dari Old Trafford.

Ikon Portugal itu membuat permintaan untuk meninggalkan Red Devils pada awal bulan ini susulan kegagalan mereka layak ke Liga Juara-Juara selain ketiadaan aktiviti perpindahan pemain antara alasan dia mahu mencari kelab baharu.

Beberapa kelab mula menaruh minat mendapatkan pemenang lima kali Ballon d'Or itu termasuk Chelsea dan Bayern Munich. Ejen Ronaldo Jorge Mendes berusaha membantu Ronaldo sehingga berunding secara rahsia dengan pengurus baharu Blues Todd Boehly.

Kini laporan di Perancis menyebut Paris Saint-Germain turut berpeluang mendapat khidmat pemain berusia 37 tahun tu. Menurut Le Parisien, Mendes menghubungi pemilik PSG Nasser Al-Khelaïfi dan penasihat sukan Luis Campos mengenai potensi perpindahan Ronaldo.

Namun, juara Ligue 1 itu sukar memenuhi hajat Ronaldo susulan ketiadaan tempat untuknya di Parc des Princes. Gergasi Perancis itu mempunyai banyak pilihan di kelab itu selepas melabur lebih £70 juta (RM368.9 juta) untuk mendapatkan dua pemain Portugal, Vitinha dan Nuno Mendes pada musim panas.

Selain itu, PSG juga memperbaharui kontrak bintang mereka, Kylian Mbappe selepas pemain Perancis itu menolak tawaran Real Madrid.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Julai 2022 @ 8:19 AM