PSG mahu Rashford jadi pengganti Mbappe.
PSG mahu Rashford jadi pengganti Mbappe.
Agensi

London: Paris-Saint Germain berhasrat mendapatkan Marcus Rashford bagi menggantikan Kylian Mbappe yang dijangka berpindah ke Real Madrid dan sedia membayar jumlah diminta Manchester United sekali gus membolehkan perjanjian dicapai pada musim panas ini.

Paris-Saint Germain enggan berputus asa untuk menandatangani Rashford dan gergasi Perancis itu sedia membuat bidaan £80 juta (RM480 juta) untuk membawa penyerang itu ke ibu kota Perancis.

Rashford menandatangani kontrak baharu lima tahun dengan United pada musim panas lalu serta gaji £350,000 (RM2.1 juta) seminggu dan sepatutnya kekal di Old Trafford sehingga 2027.

Namun dia berdepan masalah di atas dan di luar padang yang mencetuskan spekulasi dia mungkin meninggalkan United pada musim panas ini.

Dia gagal mengulangi prestasi terbaik serta hubungan dinginnya dengan pengurus Erik ten Hag susulan insiden kelab malam di Belfast yang menyebabkan dia terlepas sesi latihan dan aksi Piala FA di Newport.

Rashford berkata bulan lalu menegaskan dia masih komited dengan United. Dia membidas kritikan ke atasnya dan menggesa mereka tidak mempersoalkan semangatnya untuk beraksi dengan kelab kesayangannya itu.

Namun difahamkan pemilik PSG tetap berminat dan berusaha menandatangani Rashford. Pengerusi dan CEO Nasser Al-Khelaïfi menganggap dia adalah pengganti jangka panjang Kylian Mbappe.

Amat menarik untuk dilihat sama ada PSG mampu menarik Rashford meninggalkan United dan juara Perancis itu yang juga antara kelab terkaya di Eropah sedia membayar gaji £500,000 (RM3 juta) seminggu kepada pemain England itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mac 2024 @ 5:34 PM