MANE bersama jersi Bayern. FOTO Agensi
MANE bersama jersi Bayern. FOTO Agensi
Agensi

London: Gaji Sadio Mane di Bayern Munich menjadikan dia antara pemain yang menerima bayaran paling tinggi di dunia selepas melengkapkan perpindahan bernilai £35 juta (RM189j) ke gergasi Bundesliga itu minggu lalu.

Media Jerman, Bild mendedahkan Mane akan menerima £17j (RM91.89j) setahun di Bayern dengan kontrak sehingga 2025, berbeza ketika di Liverpool apabila dia hanya menerima antara £5 juta (RM27j) dan £10j (RM54j) setahun.

Mane menyatakan hasrat mahu meninggalkan Anfield selepas enam tahun yang cemerlang. Dia antara pemain utama pertama ditandatangani ketika era Jurgen Klopp.

Sejak menyertai Reds dengan harga £34j dari Southampton, Mane terus menyengat dan membentuk trio serangan berbisa Liverpool bersama Roberto Firmino dan Mo Salah.

Secara keseluruhan, Mane tampil 269 perlawanan dalam semua kejohanan dan meledak 120 gol. Sepanjang tempoh enam tahun, bintang Senegal itu menjuarai Liga Perdana, Liga Juara-Juara, Piala FA, Piala Liga, Piala Super UEFA dan Piala Dunia Kelab Fifa.

Mane turut berjaya di peringkat antarabangsa bersama Senegal. Dia meledak penalti kemenangan pada final Piala Negara-Negara Afrika menewaskan Mesir dan membantu pasukannya mengesahkan tempat ke Piala Dunia 2022.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Jun 2022 @ 8:28 AM