BARU-baru ini tular gambar membabitkan Cools menghadiri satu majlis di Johor. FOTO AIZUDDIN SAAD
BARU-baru ini tular gambar membabitkan Cools menghadiri satu majlis di Johor. FOTO AIZUDDIN SAAD
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Adakah destinasi seterusnya pemain kacukan Malaysia-Belgium, Dion Cools adalah Johor Darul Ta'zim (JDT)?

Situasi berkenaan semakin bertiup kencang malah menguatkan lagi andaian terbabit apabila ketika ini bahagian pertahanan juara Liga Super lapan kali berturut-turut itu sudah kosong selepas pemain import mereka Mauricio mengucapkan selamat tinggal kepada kelab terbabit hari ini.

Menerusi kenyataan di Facebook Johor Southern Tigers memaklumkan bahawa pertahanan berusia 33 tahun yang diberi jolokan 'kereta kebal' itu mula berkhidmat bersama JDT sejak 2019.

Mauricio juga boleh dikatakan antara tunjang utama bahagian pertahanan JDT setakat ini sudah memenangi lapan trofi bersama skuad itu.

"Terima kasih atas khidmat dan komitmen cemerlang sepanjang empat musim di mana kita memenangi lapan trofi bersama-sama.

"Anda adalah legenda kelab dan akan sentiasa menjadi sebahagian daripada keluarga JDT," kata JDT dalam kenyataan, hari ini.

Pengumuman yang dibuat JDT itu turut mencetuskan tanda tanya siapa yang akan dibawa masuk untuk mengisi tempat yang ditinggalkan Maurico.

Malah, terdapat tiga nama yang dikaitkan bakal menyertai kelab itu termasuk pertahanan skuad kebangsaan, Cools, Jordi Amat dan Daniel Ting.

Bagaimanapun belum ada apa-apa pengumuman mengenai pemain baharu yang akan menyertai kelab gergasi Liga Malaysia (Liga M) itu.

Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards sebelum ini mendedahkan kelab itu akan menandatangani empat pemain baharu iaitu dua pemain luar negara dan dua pemain tempatan.

Namun, baru-baru ini tular gambar membabitkan Cools menghadiri satu majlis di Johor Tunku Ismail dengan turut kelihat pemilik JDT Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Fernando Forestieri dan Benjamin Mora.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Jun 2022 @ 1:21 PM