Pemain Malaysia, Dion Cools ketika beraksi pada perlawanan Pestabola Merdeka 2023, Malaysia menentang India di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. FOTO  AHMAD UKASYAH
Pemain Malaysia, Dion Cools ketika beraksi pada perlawanan Pestabola Merdeka 2023, Malaysia menentang India di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. FOTO AHMAD UKASYAH
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim tidak menolak kemungkinan tonggak pertahanan negara, Dion Cools akan menyertai skuad Harimau Selatan kelak.

Namun, pada masa ini, pemain kacukan itu tidak akan beraksi bersama JDT kerana gaji terlampau mahal, sekali gus menghalang JDT untuk mengajikannya dalam tempoh terdekat ini.

Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) menjelaskan, beliau mempunyai hubungan baik dengan Cools yang kini beraksi di liga utama Thailand bersama Buriram United.

"Gaji Dion Cools terlampau mahal bagi kami. Buriram bayar gaji yang terlalu mahal, tetapi saya tahu dia ingin bermain di Malaysia dan saya tak rasa pemain itu akan main dengan pasukan lain.

"Kami mempunyai hubungan baik. Dia tahu berkenaaan projek, infrastruktur dan agenda di JDT dengan jelas. Satu hari nanti Dion Cools akan menjadi pemain JDT," katanya dalam program Nindia Bola di sebuah stesen televisyen swasta, hari ini.

Cools yang pernah beraksi bersama kelab Eropah menjadi antara tonggak penting Harimau Malaya dan turut beraksi ketika saingan Pestabola Merdeka 2023, baru-baru ini.

Sebelum ini, pemain kacukan Malaysia-Belgium itu pernah dikaitkan dengan perpindahan ke JDT sebelum dia berhijrah ke Buriram United.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Oktober 2023 @ 11:01 PM