ROMELU Lukaku. FOTO AFP
ROMELU Lukaku. FOTO AFP
AFP

London: Penyerang Chelsea, Romelu Lukaku memohon maaf selepas membuat kenyataan dia 'tidak gembira' bersama kelab itu di bawah bimbingan Thomas Tuchel.

Sesi temuramah sensasi Belgium itu bersama Sky Sport Italia yang dilakukan awal bulan lalu disiarkan Khamis lalu.

Tuchel kemudian menggugurkan pemain berusia 28 tahun itu yang mengalami kecederaan dan positif Covid-19 musim ini, pada perlawanan bertemu Liverpool.

"Kepada penyokong, saya minta maaf atas rasa kecewa yang saya timbulkan.

"Kini terpulang kepada saya bagi memulihkan kepercayaan anda, dan saya akan melakukan yang terbaik setiap hari untuk menunjukkan komitmen ketika sesi latihan dan pada perlawanan sebenar bagi memastikan kami memenangi perlawanan.

"Kepada pengurus, rakan sepasukan dan pihak pengurusan, saya juga memohon maaf kerana ia berlaku pada masa tidak sesuai.

"Saya mahu terus memandang ke depan dan memastikan kami memenangi perlawanan dan saya dapat beraksi pada tahap terbaik," kata kata Lukaku di laman web Chelsea.

Chelsea membayar £98 juta (RM554.9 juta) kepada bekas penyerang Manchester United itu yang pernah beraksi selama tiga musim di Stamford Bridge pada awal kariernya.

Lukaku memberitahu stesen penyiar Itali itu yang dia mahu kembali ke Inter Milan.

"Sesi temuramah itu adalah mahu mengucapkan selamat tinggal kepada penyokong Inter dan bukannya tidak menghormati penyokong Chelsea, kelab, pemilik kelab, rakan sepasukan dan kakitangan teknikal," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 January 2022 @ 7:36 AM