PENYOKONG Liverpool berdiri di luar Stade de France sebelum final Liga Juara-Juara Eropah, Sabtu lalu. FOTO AFP
PENYOKONG Liverpool berdiri di luar Stade de France sebelum final Liga Juara-Juara Eropah, Sabtu lalu. FOTO AFP
AFP

Paris: Pengerusi Liverpool, Tom Werner menuntut permohonan maaf di atas layanan terhadap penyokongnya selepas kerajaan Perancis mendakwa penggunaan tiket palsu besar-besaran mencetuskan insiden sebelum final Liga Juara-Juara Eropah menentang Real Madrid di Paris, Sabtu lalu.

Permohonan itu dibuat selepas Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) dan Persekutuan Bolasepak Perancis (FFF) yang mengadakan mesyuarat krisis di Kementerian Sukan Perancis pada Isnin lalu, menjangkakan 2,800 tiket palsu diimbas di final itu, kata sumber.

Pada Selasa pula, FFF mengeluarkan kenyataan mendakwa 35,000 orang penyokong memiliki tiket palsu atau tiada tiket cuba memasuki Stade de France untuk menyaksikan final itu.

Meletakkan 1,650 petugas keselamatan dan staf tiket iaitu 25 peratus lebih tinggi berbanding perlawanan dengan jualan tiket habis di Perancis, FFF berkata, kira-kira 110,000 orang ke stadium itu berdasarkan maklumat dikumpul daripada pihak awam dan persendirian.

FFF membuat kesimpulan, 35,000 orang berada di sekitar stadium sama ada dengan memiliki tiket palsu atau tiada tiket dan mereka mengganggu ketenteraman awam dengan berada di depan pintu masuk stadium dan menghalang pemegang tiket sebenar memasuki stadium sebelum sepak mula perlawanan.

Kerajaan Perancis dikecam hebat berikutan tindakan polis pada perlawanan itu, yang menyaksikan beribu-ribu penyokong Liverpool yang memiliki tiket sukar masuk ke Stade de France.

Sepak mula perlawanan yang dimenangi Real Madrid 1-0 itu, dilakukan lewat 36 minit untuk membenarkan penyokong masuk ke stadium selepas penggunaan gas pemedih mata dan penyembur lada hitam oleh polis.

Werner yang juga sebahagian pemilik syarikat Fenway Sports Group berpengkalan di Amerika Syarikat yang memiliki Liverpool, berkata menerusi surat dihantar kepada Menteri Sukan Perancis, Amelie Oudea-Castera, pada Isnin, berkata dia tidak percaya dengan komen wanita itu selepas kekecohan itu.

Bercakap kepada stesen radio Perancis, Oudea-Castera menyalahkan Liverpool gagal mengawal penyokongnya yang datang ke Paris sehingga menyebabkan kekecohan itu.

"Saya menulis kepada anda hari ini dengan perasaan tidak percaya bahawa menteri kerajaan Perancis membuat beberapa siri tohmahan tanpa bukti sebelum melakukan siasatan rasmi, bebas dan lengkap berhubung kejadian itu," kata Werner dalam suratnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Jun 2022 @ 8:46 AM