PENYOKONG Liverpool beratur di luar Stade de France untuk cuba memasuki stadium. FOTO AFP
PENYOKONG Liverpool beratur di luar Stade de France untuk cuba memasuki stadium. FOTO AFP
AFP

Liverpool: Ketua Eksekutif Liverpool, Billy Hogan seakan tidak percaya dengan kenyataan Menteri Dalam Negeri Perancis, Gerald Darmanin yang mendakwa kekecohan pada perlawanan final Liga Juara-Juara minggu lalu di Paris adalah berpunca daripada penyokong kelab itu.

Darmanin berdepan kritikan hebat itu apabila menyatakan penyokong Liverpool tidak mempunyai tiket atau memegang tiket palsu sehinggakan aksi sepak mula terpaksa dilewatkan selama setengah jam.

Beribu-ribu penyokong tidak dapat memasuki stadium walaupun mempunyai tiket sah yang menyaksikan polis Perancis menggunakan gas pemedih mata terhadap orang ramai termasuk kanak-kanak.

Darmanin pada mulanya mendakwa penipuan 'berskala besar' sebanyak 30,000 hingga 40,000 tiket palsu adalah punca masalah yang menyaksikan beribu-ribu penyokong tidak dapat masuk ke stadium.

UEFA dan persekutuan bola sepak Perancis menganggarkan kira-kira 2,800 tiket palsu sudah diimbas di Stade de France.

"Maklumbalas saya terhadap komen menteri Perancis itu adalah seperti yang saya pernah katakan sebelum ini iaitu tidak percaya kenyataan itu keluar dari mulutnya.

"Selepas merasai kesakitan, kesedihan dan kecederaan, kini kami dimaklumkan oleh menteri Perancis bahawa hanya penyokong Liverpool yang mencetuskan masalah. Ia amat memalukan.

"Saya sangat bersimpati dengan penyokong kami. Tiada sesiapa yang harus melalui apa yang telah mereka lalui pada hari itu. Kami mahu siasatan terbuka dan telus," kata Hogan di laman web Liverpool.

Pada aksi final itu, Liverpool tewas 0-1 kepada Real Madrid.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Jun 2022 @ 9:20 AM