PENYOKONG Liverpool beratur ketika cuba memasuki stadium. FOTO AFP
PENYOKONG Liverpool beratur ketika cuba memasuki stadium. FOTO AFP
AFP

Paris: Menteri Sukan Perancis menyalahkan Liverpool berikutan kekecohan pada aksi final Liga Juara-Juara menentang Real Madrid di Paris, sambil menyatakan kekesalan kerana gas pemedih mata digunakan terhadap penyokong.

Kerajaan Perancis berdepan kritikan hebat daripada akhbar dan ahli politik di United Kingdom (UK) berhubung cara polis mengendalikan situasi ketika itu, yang menyaksikan beribu-ribu penyokong Liverpool yang mempunyai tiket gagal masuk ke dalam stadium.

Bagaimanapun Menteri Sukan Perancis, Amelie Oudea-Castera memberitahu radio RTL bahawa Liverpool gagal mengendalikan penyokong mereka yang hadir ke Paris.

"Liverpool membiarkan penyokongnya, ini adalah perbezaan terbesar," katanya merujuk kepada perbezaan antara penyokong Liverpool dan Real Madrid.

Menteri itu menambah bahawa terdapat antara 30,000 hingga 40,000 penyokong Liverpool yang mempunyai tiket palsu atau tanpa tiket di luar Stade de France.

"Kita perlu menyiasat dari mana datangnya tiket palsu ini dan bagaimana ia dihasilkan dalam jumlah yang begitu besar," katanya.

Jelasnya lagi, aspek yang paling dikesali adalah gas pemedih mata digunakan terhadap keluarga dan kanak-kanak yang datang untuk menonton aksi final.

Oudea-Castera akan mempengerusikan mesyuarat pegawai keselamatan dan bola sepak Perancis yang turut dihadiri wakil badan induk bola sepak Eropah, UEFA.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Mei 2022 @ 8:57 PM