AMELIE Oudea-Castera. FOTO AFP
AMELIE Oudea-Castera. FOTO AFP
AFP

Paris: Menteri Pendidikan Perancis yang baharu, Amelie Oudea-Castera semakin tertekan berhubung keputusannya menghantar anaknya ke sekolah swasta.

Pembangkang mempersoalkan desakan Oudea-Castera yang menghantar anaknya ke sekolah swasta kerana ketiadaan guru dan kekurangan kakitangan di sekolah awam di tengah bandar ini.

Oudea-Castera dilantik sebagai menteri pendidikan dalam rombakan Kabinet minggu lalu. Bekas juara tenis remaja Perancis itu ditempatkan di Kementerian Pendidikan dan pada masa sama menyambung portfolio sedia ada sebagai menteri sukan.

Beliau akan mengetuai persiapan untuk Sukan Olimpik 2024 di Paris, serta mengendalikan salah satu isu paling sensitif dalam politik Perancis.

Kontroversi tercetus pada Jumaat apabila Oudea-Castera memberitahu wartawan beliau memilih untuk menghantar anaknya di sekolah swasta elit kerana banyak waktu mengajar tanpa pengganti guru di sekolah awam.

Bercakap kepada pemberita pada lawatan pertamanya ke sekolah sebagai menteri, Oudea-Castera berkata, beliau sudah bosan dengan perkara itu, seperti ratusan ribu keluarga di seluruh Perancis.

Ketiga-tiga anak lelaki Oudea-Castera bersekolah di sekolah Stanislas yang berprestij, sebuah institusi Katolik berhampiran rumahnya di Paris.

Bagaimanapun, akhbar Liberation yang berhaluan kiri pada Ahad melaporkan, anak lelaki Oudea-Castera tidak terjejas oleh jurang kakitangan di sekolah awam.

"Oudea-Castera menafikan secara mutlak dakwaan yang dilaporkan oleh Liberation," kata pejabatnya kepada AFP.

"Kita perlu menutup bab serangan peribadi dan kehidupan peribadi ini," kata menteri itu ketika lawatannya ke sekolah Paris pada Isnin.

Kesatuan guru pula berang kerana hal ehwal pendidikan diuruskan dalam gabungan beberapa kementerian dan pembangkang mengambil laporan berkenaan untuk melancarkan serangan terhadap menteri baharu itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 January 2024 @ 11:14 AM