PAN-gon (kiri) pada sidang media semalam. FOTO FAM
PAN-gon (kiri) pada sidang media semalam. FOTO FAM
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Skuad Harimau Malaya akan tampil di pentas Kelayakan Piala Asia sebagai harimau sebenar dan bukannya anak harimau mahupun harimau jadian yang bakal turun dengan DNA dan gaya permainan Malaysia yang lebih dinamik serta berkesan.

Pengendali skuad kebangsaan, Kim Pan-gon berkata, beliau amat yakin dan percaya skuad kendaliannya akan hadir dengan corak permainan berbeza berbanding ketika kem latihan pertama Mac lalu, dengan kali ini barisan kejurulatihan memiliki tempoh persiapan yang cukup lama untuk menyediakan pasukan.

Jelasnya, tempoh 20 hari yang diberikan akan dimanfaatkan sebaiknya untuk menyediakan sebuah pasukan mantap dengan jiwa harimau sebenar yang bersedia menerkam lawan pada aksi pertama Kumpulan E Kelayakan Piala Asia bertemu Turkmenistan di Stadium Nasional Bukit Jalil, pada 8 Jun ini.

"Saya positif dan saya ingin mengucapkan terima kasih kepada FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) dan MFL (Liga Bolasepak Malaysia) serta semua kelab kerana memberi kami tempoh masa persiapan yang awal untuk kami bersedia menghadapi aksi persahabatan, sebelum melangkah ke kelayakan Piala Asia.

"Saya yakin dan percaya, kami akan gunakan tempoh masa yang diberkan ini untuk menyiapkan pasukan lebih bersedia daripada kem latihan sebelum ini. Saya percaya semua pihak cukup profesional dan sedia mengambil tanggungjawab atas nama Malaysia," kata jurulatih dari Korea Selatan itu.

Selain Turkmenistan yang akan ditemui pada perlawanan pertama, skuad Harimau Malaya bakal turun berdepan Bahrain pada 11 Jun sebelum menutup kempen kelayakan dengan bertemu Bangladesh tiga hari kemudian, dengan hanya juara kumpulan akan layak secara automatik ke pusingan akhir, manakala lima naib juara terbaik daripada enam kumpulan juga layak.

"Kita cuba menyediakan pasukan mengikut cara permainan Malaysia. Oleh itu kita mahu kemenangan, dengan cara proaktif di mana kita mendominasi perlawanan.

"Kita yang paksa mereka (pasukan lawan) melakukan kesilapan, bukannya kita menunggu untuk mereka buat kesilapan kerana kita lebih agresif dan suka mencabar. Jadi kita tak gentar atau berundur, kita mahu jadi lebih berani untuk mencabar mana-mana lawan.

"Kita akan cuba perkemaskan lagi corak permainan dan beri kebanggaan kepada peminat. Kita tidak boleh nak beri kemenangan sahaja, tetapi kita juga nak buat peminat semua bangga yang pasukan ini bermati-matian dengan keberanian tinggi, tanpa ketakutan, dengan satu matlamat beri peminat bangga melihat harimau sebenar," katanya.

Skuad negara akan mengadakan dua aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 bertemu Brunei (27 Mei) dan Hong Kong (1 Jun) di Stadium Nasional Bukit Jalil sebelum turun ke 'medan perang' sebenar pada kempen kelayakan itu.

Untuk rekod, kali terakhir Malaysia beraksi di pentas Piala Asia adalah pada 2007 ketika negara menjadi tuan rumah bersama tiga buah negara rantau ini iaitu Thailand, Indonesia dan Vietnam.

Manakala kali terakhir layak secara merit adalah pada saingan Piala Asia 1980 di Kuwait yang dibarisi pemain legenda seperti Datuk Soh Chin Aun, Datuk Shukor Salleh, Datuk Jamal Nasir, Wan Jamak Wan Hassan, Bakri Ibni dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Mei 2022 @ 2:33 PM