DARREN  (kanan) ketika sesi memanas badan bersama rakan sepasukan di Wisma FAM, Kelana Jaya.  FOTO Owee Ah Chun
DARREN (kanan) ketika sesi memanas badan bersama rakan sepasukan di Wisma FAM, Kelana Jaya. FOTO Owee Ah Chun
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Skuad Harimau Malaya tidak rela sekadar menjadi pelengkap, sebaliknya mahu bersaing merebut tiket automatik ke Piala Asia tahun depan.

Menurut penyerang kacukan, Darren Lok, dia berazam membantu skuad negara layak secara merit ke pusingan akhir apabila kempen Kelayakan Piala Asia memulakan saingan bulan depan.

Jelas bintang Petaling Jaya City FC (PJ City) itu, skuad kali ini dilihat mampu merealisasikan sasaran itu, apatah lagi saingan Kumpulan E bakal berlangsung di hadapan penyokong sendiri di Stadium Nasional Bukit Jalil.

"Kita bukan hanya nak beraksi sahaja (kelayakan Piala Asia), tetapi kita nak layak ke Piala Asia tahun depan," katanya yang berdarah England-Malaysia.

Katanya lagi, semua lawan yang akan ditemui dalam Kumpulan E iaitu Turkmenistan, Bahrain dan Bangladesh mempunyai kelebihan tersendiri dengan masing-masing berpeluang untuk layak.

Namun daripada tiga lawan itu, Bahrain dilihat antara pasukan agak liat dan sukar buat skuad negara.

"Kita ada dua aksi persahabatan, ia beri peluang terbaik untuk kita menguji pasukan. "Semua aksi (dalam Kumpulan E, Kelayakan Piala Asia) penting, dan kita tahu Bahrain antara lawan sukar di mana pasukan negara pernah menentang mereka dan ia bukan mudah," katanya.

Tahun lalu ketika skuad negara di bawah bimbingan Tan Cheng Hoe, Malaysia tewas 0-2 kepada Bahrain dalam aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 yang diadakan di Stadium Nasional Bahrain.

Lok, 30, yang sudah meledak lima gol dalam saingan Liga Super musim ini menaruh harapan untuk mengekalkan momentum itu dengan menghadiahkan gol buat skuad negara jika diberi peluang beraksi.

"Ini kali pertama sertai skuad negara (di bawah jurulatih baharu, Kim Pan-gon) dan rasa bertuah terpilih. Saya sedia untuk memberikan yang terbaik di bawah kendalian jurulatih baharu ini," katanya yang pernah menyarung jersi negara dari 2016-2017 dengan berjaya merekodkan satu gol dalam sembilan penampilannya di pentas antarabangsa bersama skuad Harimah Malaya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Mei 2022 @ 8:00 PM