PENGENDALI skuad Harimau Malaya, Kim Pan-gon. -FOTO NSTP
PENGENDALI skuad Harimau Malaya, Kim Pan-gon. -FOTO NSTP
Oleh Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Kerapuhan benteng pertahanan antara aspek yang perlu diberi penekanan oleh pengendali skuad Harimau Malaya, Kim Pan-gon menjelang pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2023 di sini, Jun ini.

Keghairahan menyerang hingga hilang kedudukan posisi asal apabila diserang balas adalah kelemahan ketara yang boleh diperbaiki agar ia tidak diulangi apabila menentang pasukan seperti Bahrain dalam Kumpulan E kelayakan itu nanti.

Kelemahan atau 'lubuk' itu dikenal pasti oleh jurulatih berpengalaman, Irfan Bakti Abu Salim yang berjaya menghidu kekurangan itu ketika menyaksikan dua aksi persahabatan skuad Harimau Malaya di Singapura, minggu lalu.

Dalam dua aksi Tier 1 itu, Malaysia menang 2-0 ke atas Filipina namun terpaksa akur tewas 1-2 di tangan Singapura, dengan Irfan menyifatkan kelompongan itu terserlah ketika pasukan negara tumbang kepada skuad 'Seberang Tambak' itu.

"Pasukan kita menunjukkan perubahan yang baik khusus dengan permainan 'agresif' ke depan dan beri tekanan yang tinggi kepada pemain lawan.

"Tapi apabila kita diserang, ada kelemahan di bahagian itu apabila pemain kita sering hilang posisi mereka. Saya lihat, empat pertahanan kita lebih-lebih kiri dan kanan lambat menutup.

"Jika ia boleh dibaiki segera, mungkin pasukan kita boleh beri tentangan yang sengit dan baik dalam kelayakan nanti," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Ditanya mengenai prestasi Khuzaimi Piee, bekas jurulatih Selangor, Felda United dan kini Kuching FC itu mengakui tonggak pertahanan tengah itu perlu diberi peluang untuk beraksi bagi menunjukkan kebolehannya.

"Dia (Khuzaimi) hanya main sekali masa lawan Filipina tapi tak diturunkan lawan Singapura, mungkin ada kecederaan atau perancangan jurulatih untuk beri pemain lain main.

"Tapi bagi saya, dia kena kerap main dan peluang. Dari situ ia akan dapat bina keyakinan pemain apabila bermain di peringkat tertinggi seperti kelayakan Piala Asia nanti," katanya.

Selain Bahrain, dua lagi pasukan iaitu Turkmenistan dan Bangladesh turut berada dalam Kumpulan E dan hanya juara dan lima naib juara terbaik daripada enam kumpulan akan layak ke China tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Mac 2022 @ 1:45 PM