PENGENDALI skuad negara, Kim Pan-gon (kiri) yakin perlawanan menentang Myanmar dan Hong Kong mampu tingkatkan prestasi Harimau Malaysia. FOTO ARKIB NSTP
PENGENDALI skuad negara, Kim Pan-gon (kiri) yakin perlawanan menentang Myanmar dan Hong Kong mampu tingkatkan prestasi Harimau Malaysia. FOTO ARKIB NSTP
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Pengendali skuad Harimau Malaya, Kim Pan-gon menegaskan pemilihan Myanmar dan Hong Kong sebagai 'sparring partner' sebelum bersaing di pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2023, dilihat sesuai dan mampu meningkatkan persembahan pasukan negara.

Walaupun wujud persoalan dalam kalangan peminat apabila barisan kejurulatihan tidak memilih lawan dari rantau Asia Tengah atau Asia Barat, Pan-gon beranggapan sebaliknya apabila percaya kedua-dua pasukan itu mampu memberi pendedahan berguna buat anak buahnya.

Dalam aksi kelayakan bakal berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil bermula dari 8 hingga 14 Jun ini, Malaysia diletakkan dalam Kumpulan E terdiri daripada Turkmenistan, Bangladesh dan Bahrain.

"Dua pasukan itu dilihat sebagai lawan bersesuaian untuk skuad Harimau Malaya mempersiapkan diri menjelang tiga perlawanan sebenar Kumpulan E bertemu Turkmenistan pada 8 Jun, Bahrain pada 11 Jun dan Bangladesh pada 14 Jun dalam misi memburu slot ke Piala Asia 2023.

"Skuad Harimau Malaya akan bertemu Myanmar yang berada di ranking ke-152 dunia memandangkan pasukan itu akan berada di Kuala Lumpur untuk kem latihan pusat sebelum terbang ke Bishkek, Kyrgyzstan bagi saingan Kumpulan F membabitkan Kyrgyzstan, Tajikistan, Myanmar dan Singapura.

"Sementara Hong Kong yang ketika ini berkedudukan ranking ke-147 dunia akan singgah ke Kuala Lumpur untuk bertemu Malaysia sebelum terbang ke Kolkata, India bagi saingan Kumpulan D membabitkan India, Hong Kong, Afghanistan dan Kemboja," katanya.

Pan-gon berkata, skuad negara akan mula berkumpul bagi kem latihan pusat pada 19 Mei depan, sebelum menentang Myanmar pada 27 Mei dan Hong Kong (1 Jun) untuk aksi persahabatan itu.

"Tempoh tiga minggu kem latihan pusat termasuk perlawanan pemanas badan diharap dapat memberi peluang dan ruang buat barisan kejurulatihan skuad Harimau Malaya meningkatkan tahap permainan, keserasian serta kombinasi pemain sebelum pusingan kelayakan.

"Saya berharap kehadiran penyokong setia Harimau Malaya akan memberikan suntikan semangat untuk pasukan menampilkan persembahan lebih bertenaga dan memberikan keputusan positif serta kejayaan diharapkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 April 2022 @ 6:10 PM