PAN-gon (kiri) akan memanggil pemain untuk latihan pusat bulan depan. FOTO Eizairi Shamsudin
PAN-gon (kiri) akan memanggil pemain untuk latihan pusat bulan depan. FOTO Eizairi Shamsudin
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Gabungan skuad yang membawa Harimau Malaya layak ke Piala Asia pada pusingan kelayakan Jun lalu dan anggota pasukan di Piala AFF menjadi pilihan Kim Pan-gon untuk dipanggil pada latihan pusat bulan depan.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Noor Azman Rahman berkata, gabungan pemain daripada dua pasukan itu kemungkinan bakal menjadi teras pembentukan skuad utama kebangsaan yang dalam persiapan ke Piala Asia di Qatar, Januari tahun depan.

"Senarai panggilan belum ada lagi tapi mungkin kita boleh gambarkan beliau (Kim Pan-gon) akan mula bentuk pasukan sebenar ke Piala Asia daripada sekarang.

"Saya dan jurulatih akan duduk berbincang nanti dan dari situ kita akan melihat pemain-pemain yang akan dipanggil nanti.

"Tarikh 24 Februari ini beliau akan mula memantau pemain di mana liga (Liga Malaysia) akan bermula. Jadi dalam bulan Mac nanti sebelum latihan pusat pada hujung bulan depan kita akan umumkan," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Pada kelayakan Piala Asia 2023 Jun lalu, skuad Harimau Malaya berjaya menamatkan badi 42 tahun apabila layak secara merit selepas muncul lima naib juara terbaik di pusingan itu.

Bagaimanapun, pada kempen Piala AFF hujung tahun lalu, Pan-gon tidak dapat menggunakan barisan pemain sama ekoran kejohanan serantau itu tidak berada dalam kalendar Fifa, yang menyaksikan jurulatih dari Korea Selatan itu memanggil pemain baharu.

Walaupun dianggap sebagai 'skuad kedua' oleh peminat tanahair, namun aksi terpuji berjaya dipamerkan apabila Malaysia melepasi peringkat kumpulan untuk mara ke separuh akhir.

Begitupun, perjalanan anak buah Pan-gon itu disekat Thailand apabila tewas 1-3 secara agregat.

Meskipun tidak dapat mara ke final, ada perkara positif yang diraih oleh Pan-gon apabila beliau berjaya mengesan beberapa tonggak baharu yang boleh dipertaruhkan antaranya seperti Lee Tuck, Stuart Wilkin, Ezequiel Aguero, Haqimi Azim dan lain-lain.

Ditanya mengenai aksi persahabatan pada bulan depan, Noor Azman akui pasukan yang akan ditentang adalah negara menghuni ranking lebih tinggi daripada skuad Harimau Malaya.

"Selain kita akan lawan Turkmenistan, satu lagi pasukan dari Asia juga…ada dua negara yang kita tunggu, dan tengok nanti yang mana kita akan jumpa," katanya.

Untuk rekod, Malaysia kini menghuni tangga 145 dunia, manakala Turkmenistan di kedudukan 135 dengan kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu pada kelayakan Piala Asia lalu di mana skuad negara menang 3-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Jun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Februari 2023 @ 4:51 PM