KAPTEN Korea Selatan, Son Heung-min (kiri). FOTO REUTERS
KAPTEN Korea Selatan, Son Heung-min (kiri). FOTO REUTERS
AFP

Seoul: Korea Selatan akan melayan kunjungan Brazil pada perlawanan pemanas badan sebelum Piala Dunia 2022, kata persatuan bola sepak negara itu, hari ini.

Pasukan kebangsaan diketuai bintang Tottenham Hotspur, Son Heung-min akan menentang Brazil di Seoul pada 2 Jun sebelum bertemu Chile dan Paraguay pada 6 dan 10 Jun.

Siri perlawanan dengan lawan dari Amerika Selatan itu akan memberi peluang terbaik kepada Korea Selatan menilai kekuatan dan kelemahan, kata Persatuan Bolasepak Korea dalam satu kenyataan.

Brazil yang juga juara dunia lima kali adalah satu-satunya pasukan layak ke semua Piala Dunia dan boleh membariskan pemain terbaik dunia seperti bintang Paris Saint-Germain, Neymar dan Roberto Firmino di Liverpool.

Korea Selatan yang menduduki tangga ke-29 ranking Fifa layak ke Piala Dunia ke-10 berturut-turut selepas menduduki tempat kedua di belakang Iran dalam Kumpulan A kelayakan Asia.

Mereka diundi dalam Kumpulan H bersama Portugal, Uruguay dan Ghana di Piala Dunia Qatar 2022, November depan.

Korea Selatan hanya dua kali layak ke pusingan kalah mati dengan persembahan terbaik adalah mara ke separuh akhir pada Piala Dunia 2002 ketika mereka menjadi tuan rumah bersama Jepun.

Mereka layak ke pusingan 16 terbaik pada edisi 2010 di Afrika Selatan.

Tahun ini, pasukan itu mengharapkan Son, yang menjaringkan 19 gol dalam Liga Perdana Inggeris musim 2021-22 untuk melepasi peringkat kumpulan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Mei 2022 @ 9:59 PM