SON (kiri) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan. FOTO REUTERS
SON (kiri) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan. FOTO REUTERS
AFP

Hong Kong: Ketua pasukan, Son Heung-min menjaringkan dua gol untuk memastikan Korea Selatan menang kedua-dua perlawanan awal kelayakan Piala Dunia 2026, dengan kemenangan 3-0 ke atas China, malam ini.

Son membuat lebih 40,000 penonton di Shenzhen terdiam menerusi dua gol pada babak pertama, iaitu yang pertama menerusi sepakan penalti manakala satu lagi menerusi tandukan sebelum rehat.

Korea Selatan melengkapkan kemenangan pada masa kecederaan menerusi tandukan kencang Jung Seung-hyun - hasil gerakan set-piece Son - dan kini mendahului Kumpulan C dengan enam mata.

Minggu lalu, anak buah Jurgen Klinsmann itu membelasah Singapura 5-0 untuk memulakan kempen kelayakan dengan bergaya dan mereka jelas berada dalam mood yang sama untuk mengatasi China.

Menerusi gerakan menarik Son, Korea Selatan dilihat menguasai permainan dan berada di depan selepas 11 minit.

Penyerang Wolverhampton Wanderers, Hwang Hee-chan dijatuhkan di dalam kotak penalti dan Son yang juga bintang Tottenham Hotspur, mudah menyempurnakan sepakan penalti.

Selepas itu, Korea Selatan meneruskan penguasaan dan tandukan penyerang, Cho Gue-sung sedikit melepasi palang manakala percubaan Son ditampan penjaga gol, Yan Junling.

Tidak lama sebelum rehat, Son melonjak tinggi untuk menanduk masuk gol kedua pasukannya.

Korea Selatan yang mara ke pusingan 16 terbaik Piala Dunia 2022, sepatutnya selesa 3-0 selepas rehat, tetapi pemain pertahanan China, Zhu Chenjie sempat mengeluarkan bola di atas garisan gol.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 November 2023 @ 10:28 PM