Pemain Ghana, Tariq Lamptey diasak pemain Korea Selatan, Kim Jin-su pada aksi Piala Dunia. FOTO AP
Pemain Ghana, Tariq Lamptey diasak pemain Korea Selatan, Kim Jin-su pada aksi Piala Dunia. FOTO AP
Reuters

Al Rayyan: Penolong jurulatih Korea Selatan, Sergio Costa, berkata kekalahan 3-2 kepada Ghana adalah keputusan yang tidak adil bagi pasukannya.

Korea Selatan kini menduduki tangga tercorot dalam saingan Kumpulan H Piala Dunia.

Dua gol jaringan Cho Gue-sung tidak mencukupi buat wakil Asia itu untuk menewaskan Ghana walaupun mereka menguasai permainan.

Korea Selatan mempunyai satu mata selepas seri tanpa jaringan berdepan Uruguay.

Skuad kendalian Paulo Bento itu kini perlu menewaskan Portugal pada Jumaat dalam aksi terakhir peringkat kumpulan untuk mara ke pusingan kalah mati.

Costa hadir di sidang media selepas perlawanan menggantikan Bento yang dilayangkan kad merah kerana membantah pengadil menamatkan perlawanan ketika Korea Selatan mahu mengambil sepakan sudut.

"Dalam tempoh 25 minit pertama, kami mampu mengawal permainan dengan menguasai bola, ia sangat bagus. Kami membuat hantaran dengan baik dan mengikuti strategi untuk perlawanan ini.

"Selepas gol pertama, ia mula berubah sehingga akhir babak pertama. Ketika itu kami hilang kawalan.

"Babak kedua berubah sepenuhnya. Kami menguasai bola dan mencipta peluang untuk menjaringkan gol.

"Keputusan ini tidak adil, malah keputusan seri juga tidak adil buat kami yang sepatutnya menang." kata Costa.

Pemain Korea Selatan kelihatan amat kecewa selepas perlawanan dengan kapten dan bintang mereka, Son Heung-min tidak dapat menahan air matanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 November 2022 @ 1:46 AM