BARISAN pemain Korea Selatan meraikan kejayaan layak ke Piala Dunia. FOTO EPA
BARISAN pemain Korea Selatan meraikan kejayaan layak ke Piala Dunia. FOTO EPA
AFP

Dubai: Korea Selatan menewaskan Syria 2-1 di Dubai hari ini sekali gus layak beraksi di pentas Piala Dunia buat kali ke-10 berturut-turut.

Korea yang tampil di pusingan akhir sejak edisi Mexico 1986 dan menduduki tempat keempat ketika menjadi tuan rumah bersama pada 2002, layak beraksi di Qatar bersama-sama Iran yang sudah mengesahkan tempat dalam Kumpulan A, zon kelayakan Asia.

Meskipun tanpa bintang Liga Perdana Inggeris, Son Heung-Min yang mengalami kecederaan, skuad bimbingan Paulo Bento berjaya menguasai perlawanan dan hampir memperoleh gol pertama namun rembatan penyerang, Cho Gue Sung dari jarak dekat minit ke-43 sedikit tersasar.

Dua minit kemudian, Cho yang menjaringkan gol kemenangan pada perlawanan terakhir bertemu Lubnan, menyaksikan tandukannya terkena palang gol.

Kim Jin-Su akhirnya membuka jaringan minit ke-54 menewaskan penjaga gol Syria, Ibrahim Alma.

Cubaan Kwon Chang-Hoon dari luar kotak penalti berjaya menambah gol kedua Korea minit ke-74.

Sementara itu Iran menewaskan Iraq, Khamis lalu untuk melangkah ke pusingan akhir buat kali ketiga berturut-turut.

Pasukan tangga ketiga dari kumpulan zon kelayakan Asia akan beraksi pada perlawanan playoff bertemu pasukan Amerika Selatan untuk merebut tempat ke Qatar.

Pusingan akhir Piala Dunia yang akan berlangsung di negara Arab dekat Qatar bakal bermula 21 November depan.

Korea Selatan mempunyai sejarah hebat melakukan kejutan di Piala Dunia. Mereka menyingkirkan Itali untuk melangkah ke separuh akhir 2002 dan pada edisi terakhir di Rusia, mereka menewaskan Jerman 2-0 namun gagal untuk melepasi pusingan kalah mati.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Februari 2022 @ 7:31 AM