KHIDMAT Son diperlukan untuk mengemudi Korea Selatan mara ke pusingan kalah mati di Qatar 2022. FOTO Reuters
KHIDMAT Son diperlukan untuk mengemudi Korea Selatan mara ke pusingan kalah mati di Qatar 2022. FOTO Reuters
AFP

London: Pengurus Tottenham, Antonio Conte yakin Son Heung-min akan cergas untuk bermain di Piala Dunia selepas penyerang Korea Selatan itu menjalani pembedahan akibat kecederaan muka.

Bintang Spurs itu mengalami keretakan tulang berhampiran mata kiri ketika menang 2-1 di Marseille pada aksi Liga Juara-Juara Eropah (UCL) selepas berlaga dengan Chancel Mbemba.

Kapten Korea Selatan itu menjalani pembedahan pada Jumaat lalu dan bergelut untuk cergas menghadapi Piala Dunia Qatar 2022, yang akan bermula pada 20 November.

"Saya menghantar mesej kepadanya selepas dia menjalani pembedahan semalam dan Sonny benar-benar kecewa dengan situasi dialaminya," kata Conte selepas Son tidak beraksi ketika Spurs tewas 1-2 di tempat sendiri di tangan Liverpool pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), malam tadi.

"Tetapi, saya harap dia akan pulih sepenuhnya dan bermain di Piala Dunia.

"Saya adalah bekas pemain dan tahu kepentingan untuk beraksi di Piala Dunia.

"Saya yakin dia akan pulih dengan cepat dan mewakili Korea Selatan di Piala Dunia," kata pengendali Itali itu.

Khidmat Son, 30, amat penting bagi Korea Selatan melepasi peringkat kumpulan dan layak ke pusingan kalah mati di Piala Dunia selepas dia kini menjaringkan 35 gol dalam 104 aksi antarabangsa.

Korea Selatan memulakan kempen di Qatar 2022 menentang Uruguay pada 24 November diikuti Ghana dan Portugal dalam Kumpulan H.

Musim lalu, Son berkongsi Anugerah Kasut Emas sebagai penjaring terbanyak EPL dengan bintang Liverpool, Mohamed Salah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 November 2022 @ 1:45 PM