PEMAIN Perak FC, Mohd Aqil Hilman (kanan) mengawal bola ketika menentang pemain pasukan Selangor FC 2 pada saingan Liga Perdana Malaysia 2022 di Stadium Perak malam tadi. FOTO Bernama
PEMAIN Perak FC, Mohd Aqil Hilman (kanan) mengawal bola ketika menentang pemain pasukan Selangor FC 2 pada saingan Liga Perdana Malaysia 2022 di Stadium Perak malam tadi. FOTO Bernama
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Tidak menerima gaji selama berbulan-bulan bukan penghalang buat Perak FC bermain mati-matian apabila berjaya meraih tiga mata penuh selepas bangkit dari ketinggalan untuk melakar kemenangan 2-1 ke atas Selangor FC II di Stadium Perak, Ipoh malam tadi.

Antara yang memuji sikap pemain skuad The Bos Gaurus itu adalah bekas penyerang terbilang pasukan itu, Khalid Jamlus.

Jelas Khalid, pemain Yusri Che Lah nyata tidak mengalah dengan masalah tunggakan gaji yang menghantui pasukan apabila meletakkan kepentingan pasukan dari segalanya demi lencana di dada.

"Usaha yang baik dari pemain. Tahniah kepada pemain yang berhak menang malam ini (malam tadi)," tulisnya di laman Facebook miliknya.

Ujarnya lagi, walaupun pemain menyedari mata pasukan akan dipotong ekoran kegagalan melunaskan tunggakan gaji, namun pemain menunjukkan semangat yang positif.

"Majikan yang tak ada perasaan…kalau korang ada di padang malam ini..korang akan nampak perjuangan budak-budak bermain demi maruah di dada..tapi korang sembang macam apatah.

"Dah sudah jangan menyiksa pemain. Tinggalkan kalau tak mampu bantu. Jangan menyusahkan pemain. Tahniah semua (pemain), semangat melawan yang baik," katanya.

Sementara itu, seorang lagi pemain iaitu Wan Zack Haikal Wan Noor memuji semangat melawan pemain Perak FC dan mengganggap pasukan ini unik.

"Persembahan yang teramat padu 'boys'. Dah dah, dah tak jumpa dah pasukan macam ini. 'Limited' habis kerana lima bulan tanpa gaji tetap bermati-matian," kata Wan Zack di laman Story Instagramnya.

Sebelum ini, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengarahkan pemotongan tiga mata susulan kegagalan pengurusan Perak FC menjelaskan tunggakan gaji babitkan pemain dan pegawai musim lalu dengan anggaran keseluruhan RM8 juta.

Ketika ini, kelab terbabit sedang berusaha mencari pemilik baharu bagi menyelamatkan masa depan pasukan yang berpotensi disingkirkan daripada saingan Liga Malaysia musim ini jika masih gagal selesaikan isu itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 April 2022 @ 6:25 PM