WAN Zack Haikal (kanan) berkata sudah ada beberapa pasukan menyatakan minat untuk mendapatkan khidmatnya. FOTO Bernama
WAN Zack Haikal (kanan) berkata sudah ada beberapa pasukan menyatakan minat untuk mendapatkan khidmatnya. FOTO Bernama
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Kebangkitan mendadak prestasi tonggak Perak FC, Wan Zack Haikal Wan Noor sejak kebelakangan ini menyebabkan pemain terbabit 'laku keras' selepas dirisik beberapa pasukan Liga Super.

Walaupun namanya agak tenggelam sebelum ini, namun pemain berusia 32 tahun itu pantas membuktikan dia masih relevan dalam pasukan selepas menghasilkan 4 gol dan 4 bantuan gol dalam semua 21 perlawanan (12 perlawanan dalam kesebelasan utama) bersama Perak musim ini.

Malah Wan Zack Haikal yang mendapat kepercayaan jurulatih Yusri Che Lah turut merekod satu gol ketika mereka membenam Kelantan FC 8-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Perak, Ipoh malam tadi.

Berikutan itu, Wan Zack Haikal berkata, sudah ada beberapa pasukan menyatakan minat untuk mendapatkan khidmat bekas pemain kelab Jepun, FC Ryukyu itu untuk musim depan.

"Alhamdulillah ada juga pasukan bertanyakan kontrak saya dengan Perak. Saya menghormati kontrak dengan Perak yang berbaki lagi beberapa bulan dan sehingga kini saya belum buat apa-apa keputusan kerana masih menunggu keputusan daripada pihak pengurusan Perak," katanya.

Sebelum ini, Wan Zack Haikal kurang mendapat tempat ketika Perak FC dibimbing oleh Datuk Lim Teong Kim namun dia menebus kepercayaan yang diberikan pihak pengurusan apabila Yusri mengambil alih tugas sebagai ketua jurulatih.

"Saya ingin ucapkan terima kasih kepada jurulatih Yusri kerana selalu beri saya peluang dan kata-kata semangat untuk saya berusaha mencari prestasi sebenar saya," kata bekas pemain kebangsaan itu.

Wan Zack Haikal antara watak penting pada perlawanan menentang Kelantan FC di Stadium Perak malam tadi apabila menyumbang satu gol dan mencipta beberapa peluang lain untuk memastikan kemenangan 8-0 memihak kepada skuad Bos Gaurus.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Oktober 2023 @ 3:13 PM