WAN Roslan berkata pihaknya menawarkan gaji yang lebih rendah kepada pemain berdasarkan kemampuan kewangan pasukan. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMARĀ 
WAN Roslan berkata pihaknya menawarkan gaji yang lebih rendah kepada pemain berdasarkan kemampuan kewangan pasukan. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMARĀ 
Nor Amalina Alias


Kota Bharu: Mengenakan gaji lebih rendah berbanding pasukan lain antara ramuan Kelab Bola Sepak Kelantan United (KUFC) dalam menangani isu tunggakan gaji pemain.

Penasihatnya, Wan Roslan Wan Hamat berkata, isu gaji pemain antara yang diberi tumpuan utama dalam penubuhan awal pasukan bola sepak negeri ini sejak Liga M3.

Katanya, pihaknya menawarkan gaji yang lebih rendah kepada pemain berdasarkan kemampuan kewangan pasukan namun tidak keberatan memberikan bonus sekiranya berjaya melakar kemenangan.

"Kita bagi amaran awal dalam merangka pasukan kena lihat kemampuan yang ada.

"Walaupun gaji kita tak seberapa namun kita pastikan kita bayar gaji pemain dengan lancar dengan perkenal skim gaji," katanya ketika ditemui dalam majlis menandatangani kerjasama strategik KUFC dengan syarikat minuman pribiotik terkemuka dunia, Yakult (Malaysia) Sdn Bhd di Hotel Perdana, di sini, hari ini.

Wan Roslan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Kelantan berkata, KUFC juga memberi keutamaan pemain kelahiran negeri ini bagi mengisi bangku pemain.

Katanya, tindakan itu dapat menjimatkan kos kerana mereka bermain di kampung halaman.

"Kita nak supaya pemain bermain dengan baik tanpa ada tunggakan gaji yang lama sehingga menjejaskan prestasi pemain," katanya.

Beliau berkata, KUFC kini dibarisi 70 peratus pemain kelahiran Kelantan bagi menghadapi saingan liga musim 2022.

Dalam perkembangan lain, beliau turut melahirkan perasaan dukacita atas pemergian bekas pemain kebangsaan, Serbegeth Singh atau Shebby Singh yang meninggal dunia akibat serangan jantung, petang semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 January 2022 @ 5:15 PM