KESEBELASAN utama Manjung City menentang Sri Pahang malam tadi. FOTO Facebook Manjung City FC
KESEBELASAN utama Manjung City menentang Sri Pahang malam tadi. FOTO Facebook Manjung City FC
Hamdan Saaid


Kuala Lumpur: Siapa yang tidak teruja apabila kelab bertaraf amatur Manjung City FC hampir memalukan pasukan Liga Super, Sri Pahang pada aksi pusingan pertama Piala FA di Kuantan malam tadi.

Peminat kelab itu bertalu-talu memenuhi ruangan komen Facebook kelab apabila Manjung City tewas menerusi penentuan penalti 4-5 selepas mengikat pasukan gergasi itu 0-0 sesudah bertarung selama 120 minit di Stadium Darul Makmur.

Rata-rata peminat terpegun dan terpukau dengan aksi dipamerkan anak buah Rafae Isa di gelanggang lawan ketika tuan rumah membariskan skuad terbaik mereka termasuk menurunkan pemain import.

"Terbaikkk Manjung City dapat beri saingan dekat Pahang pasukan Liga Super yang ada pemain import," komen seorang peminat Farez Ewan.

Mohamad Sabri pula berkata: "Tiada yang nak dimalukan. Korang dah buktikan kemampuan korang walau team kecil tapi jiwa besar! Syabas saya ucapkan terhadap semua pemain korang memang terbaik... terus langkah ke hadapan. Insha-Allah... Go Manjung Go!!"

"Kurangnya side dari team M3 kerana tiadanya import player. Tapi jika layak ke Liga Perdana fikir-fikirkan kos import player yang setimpal. Fan base dah ada. Network dengan fan je kurang. Pengurusan mantap," kata seorang lagi warganet Muhammad Mokhlis Zamani.

Penjaga gol import Sri Pahang dari Mali, Mamadou Samassa menyelamatkan sepakan penalti kedua Manjung City menerusi C Sasikumar.

Tuan rumah memastikan mereka tidak pulang hampa dan diaibkan apabila pemain Laos kelahiran Perancis, Billy Ketkeophomphone, Johan Cedric Francois, Muslim Ahmad, Manuel Hidalgo dan Mohammad Azwan Aripin menyempurnakan lima sepakan penalti pasukan itu.

Setakat ini hanya Perlis United FC muncul pasukan dari Liga M3 layak ke pusingan kedua Piala FA selepas mereka mengejutkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) 2-0 di Kuala Lumpur malam tadi.

Dua lagi pasukan Persada Integriti Berhad (PIB) FC dan Kijang Rangers hanya akan bermain aksi pusingan pertama masing-masing menentang Melaka United dan Perak minggu depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Mac 2022 @ 9:51 PM