Jurulatih Sri Pahang FC, Christophe Gamel memberi arahan kepada pemainnya. FOTO Farizul Hafiz Awang
Jurulatih Sri Pahang FC, Christophe Gamel memberi arahan kepada pemainnya. FOTO Farizul Hafiz Awang
Asrol Awang


Kuantan: Prestasi lebih baik ditagih ketua jurulatih Sri Pahang FC, Christophe Gamel sebaik memulakan saingan Liga Super bulan depan. 

Justeru, jurulatih kelahiran Perancis itu mahu anak buahnya meningkatkan corak permainan terutama memanfaatkan peluang yang dimiliki. 

"Seperti aksi pusingan pertama Piala FA berdepan Manjung City FC, kami mempunyai banyak peluang untuk membolosi gawang lawan. 

"Namun, peluang itu tidak dapat disempurnakan tetapi gembira kerana berjaya layak ke pusingan kedua piala berkenaan. 

"Oleh itu, saya harap selepas ini pemain dapat beraksi lebih baik apabila saingan Liga Super bersambung," kata jurulatih berusia 50 tahun itu. 

Pada aksi Piala FA, perlawanan terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 0-0 sepanjang 120 minit perlawanan. 

Pada penentuan penalti, skuad Tok Gajah mencatat kemenangan 5-4 sekali gus mara ke pusingan kedua Piala FA. 

Namun, bagi peminat skuad Tok Gajah, skuad itu perlu tampil lebih bertenaga jika mahu memberi saingan dalam aksi Liga Super. 

Ini kerana dibarisi empat pemain import serta pemain berpengalaman gagal untuk memberi tekanan kepada Manjung City selaku kelab amatur yang beraksi di Liga M3. 

Oleh itu, Sri Pahang diharap dapat mempertingkatkan kualiti permainan dalam usaha meletakkan skuad itu pada kedudukan terbaik dan mampu mencabar. 

Berdasarkan jadual awal Liga Super, Sri Pahang sepatutnya memulakan kempen liga itu berdepan Terengganu FC dan disusuli Selangor FC, masing-masing pada 5 dan 8 Mac lalu, tetapi ditunda akibat sebahagian pemain dan pegawai pasukan itu dijangkiti Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Mac 2022 @ 5:16 PM