Pemain Sri Pahang FC, Mahmoud Saleem Mahmoud Za'tara, melakukan percubaan ke arah gawang pasukan Manjung City FC, pada aksi Piala FA. FOTO Farizul Hafiz Awang
Pemain Sri Pahang FC, Mahmoud Saleem Mahmoud Za'tara, melakukan percubaan ke arah gawang pasukan Manjung City FC, pada aksi Piala FA. FOTO Farizul Hafiz Awang
Asrol Awang


Kuantan: Ketua jurulatih Sri Pahang FC, Christophe Gamel sudah menjangkakan tentangan sengit bakal dihadapi skuadnya ketika berdepan Manjung City FC pada pusingan pertama Piala FA, malam tadi.

Jurulatih dari Perancis itu berkata, ini kerana sebahagian besar anak buahnya baharu sahaja pulih daripada jangkitan Covid-19.

"Setakat ini, tiga kali Sri Pahang berdepan jangkitan Covid-19 yang turut memberikan kesan terhadap prestasi pasukan.

"Namun, saya gembira kerana pemain berjaya untuk memastikan Sri Pahang layak ke pusingan seterusnya biarpun keputusan terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti.

"Saya tetap berbangga kerana kita juga banyak melepaskan peluang untuk menjaringkan gol sepanjang tempoh 120 minit perlawanan," katanya.

Pada perlawanan itu, Sri Pahang menewaskan Manjung City, 5-4 pada penentuan penalti selepas terikat 0-0.

Lima pemain tuan rumah iaitu Billy Ketkeophomphone, Johan Cedric Francois, Muslim Ahmad, Manuel Hidalgo dan Mohammad Azwan Aripin berjaya menyempurnakan sepakan.

Bagi Manjung City pula, hanya pemain tengah, C Sasikumar yang mengambil penalti kedua gagal menjaringkan gol berbanding Wan Muhammad Izzat Wan Zaidi, Muhammad Faizzwan Dorahim, Muhammad Ikmal Hakim dan Muhammad Sobri Hasri berjaya membolosi gawang.

Sementara itu, ketua jurulatih Manjung City, Rafae Isa tetap berbangga dengan komitmen dan semangat juang tinggi yang dipersembahkan anak buahnya.

Katanya, pemainnya membuktikan bahawa bermain dengan pasukan dari Liga Super yang turut dibarisi pemain import mampu mengheret perlawanan ke masa tambahan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Mac 2022 @ 11:48 AM