MATETA (kanan) dan Gallagher masing-masing berjaya menyumbang gol buat Palace. FOTO Reuters
MATETA (kanan) dan Gallagher masing-masing berjaya menyumbang gol buat Palace. FOTO Reuters
Reuters

Watford: Conor Gallagher menjaringkan gol cantik dan Wilfried Zaha meledak dua jaringan ketika Crystal Palace membenam Watford 4-1 dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) untuk memberi tekanan kepada tuan rumah tersingkir musim ini.

Hantaran lintang Tyrick Mitchell dari sebelah kiri pada minit ke-42 dikawal dengan sempurna oleh Gallagher, sebelum melepaskan rembatan menewaskan penjaga gol, Ben Foster.

Jean Philippe Mateta meletakkan Palace di depan namun gol pendahuluan itu hanya seketika sebelum Moussa Sissoko meledak gol pertamanya dengan Watford.

Zaha menambah dua lagi gol di lewat permainan untuk membolehkan Palace meraih kemenangan kedua di tempat lawan musim ini.

"Semua orang tahu mengenai kemampuan Conor dan jika saya bersaing dengan pemain seperti itu, saya harus mengambil satu langkah di depan.

"Kami perlu menjadi lebih klinikal, kami mencipta peluang dan tidak menjaringkan gol, jadi saya rasa kali ini kami berhak. Dengan pasukan yang kami ada, berada di pertengahan liga adalah kedudukan tepat," kata Zaha.

Watford, yang akan menentang Manchester United Sabtu ini, kekal di zon penyingkiran dengan memungut 18 mata daripada 25 perlawanan.

Palace melonjak dua anak tangga di kedudukan ke-11 selepas mengumpul 29 mata daripada 26 perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Februari 2022 @ 11:40 AM