WILFRIED Zaha (tengah) meledakkan gol pembukaan Palace. -FOTO AFP
WILFRIED Zaha (tengah) meledakkan gol pembukaan Palace. -FOTO AFP
AFP

Manchester: Pep Guardiola mengakui bahawa Manchester City mempunyai hari yang perlu dilupakan apabila Crystal Palace berjaya menewaskan mereka buat kali pertama musim ini di tempat sendiri selepas menang 2-0 di Etihad.

City ketinggalan menerusi jaringan pembukaan oleh Wilfried Zaha sebelum kehilangan pertahanan Aymeric Laporte yang menerima kad merah kerana menjatuhkan pemain Ivory Coast itu.

Gabriel Jesus berjaya mendapatkan gol penyamaan City biarpun beraksi dengan 10 pemain namun dibatalkan kerana ofsaid selepas melihat kembali rakaman VAR pada babak kedua sebelum Conor Gallagher memastikan kemenangan mutlak lawan ketika masa berbaki dua minit sebelum tamat.

City kini lima mata di belakang pendahulu Liga Perdana Chelsea dan akan berdepan Manchester United di Old Trafford minggu depan.

"Apabila anda bermain 50 minit dengan 10 pemain menentang 11, ia sukar buat pasukan seperti kami kerana anda memerlukan proses dan melakukan segala-galanya dengan betul," kata Guardiola.

"Pemain menunjukkan karektor dan kepenatan tapi malangnya banyak perkara yang tidak kena dan kami tewas perlawanan ini."

Pemain turut City berang selain Laporte dibuang padang dan gol yang dibatalkan, rayuan Phil Foden untuk diberikan sepakan penalti pada separuh masa kedua turut ditolak.

Namun Guardiola enggan menyalahkan pengadil biarpun perlawanan ke-200 yang dikendalikannya dalam Liga Perdana berakhir dengan kekalahan.

"Ia mungkin kuning atau merah," katanya merujuk kepada insiden Laporte.

"Ia terpulang kepada pengadil dan apa yang dia fikirkan. Gol, saya sangkakan penjaga garisan mengatakan ofsaid. Kami tidak kalah kerana itu."

Kemenangan itu yang kedua buat Palace sejak Patrick Vieira mengambil alih dan kini lima mata di atas zon penyingkiran.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Oktober 2021 @ 8:26 AM