Hamidin (kiri) menerima cenderamata daripada Firdaus pada majlis di Wisma FAM. FOTO Ihsan FAM
Hamidin (kiri) menerima cenderamata daripada Firdaus pada majlis di Wisma FAM. FOTO Ihsan FAM
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) optimis dengan semangat bersatu hati Persatuan Bolasepak Melayu Malaysia (PBMM) mampu melaksanakan transformasi persatuan itu untuk bergerak lebih maju ke hadapan.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, dalam era zaman teknologi moden ketika ini PBMM perlu memperbanyakkan program serta aktiviti untuk dimanfaatkan ahli persatuan.

"Penganjuran agenda sedia ada dan tahunan PBMM iaitu Piala Emas Raja-raja dan Piala Agong sudah menjadi 'trademark' dan masih bertahan hingga kini, bukan mudah untuk mengekalkan usaha ini dan ia wajar dipuji, syabas saya ucapkan. Namun program seumpama itu perlu dipertingkatkan lagi.

"Lantaran itu, komitmen di setiap peringkat penting dalam bekerjasama memperkasakan lagi PBMM dengan program-program antaranya membabitkan kejurulatihan dan akar umbi," katanya.

Hamidin berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat daripada PBMM di Wisma FAM, hari ini.

Kunjungan PBMM yang diadakan sejurus selepas sesi mesyuarat exco PBMM yang turut diadakan di Wisma FAM itu diketuai Presidennya Mohd Firdaus Mohamed serta ahli-ahli majlis PBMM.

Firdaus berkata, tunjuk ajar dari badan induk FAM penting untuk persatuan memperkasakan lagi bola sepak Malaysia.

"Selari dengan saranan Datuk Presiden, kami sememangnya akan membantu FAM dalam memperbanyakkan program sekali gus mempergiatkan lagi usaha mencari bakat-bakat baru untuk FAM," katanya.

Piala Malaysia sudah memasuki ulang tahun ke-100 manakala kejohanan bola sepak sebayanya, Piala Emas Raja-Raja anjuran PBMM turut mencecah angka usia sama.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Februari 2022 @ 4:03 PM