TAN Sri Dr Mohd Daud Bakar meletakkan puzzle sebagai gimik pelancaran Piala Emas Raja-Raja, Edisi 100 dan di saksikan oleh Presiden Bolasepak Melayu Malaysia, Mohd Firdaus Mohamed, (kanan) di Ibu Pejabat MARA. FOTO Fathil Asri
TAN Sri Dr Mohd Daud Bakar meletakkan puzzle sebagai gimik pelancaran Piala Emas Raja-Raja, Edisi 100 dan di saksikan oleh Presiden Bolasepak Melayu Malaysia, Mohd Firdaus Mohamed, (kanan) di Ibu Pejabat MARA. FOTO Fathil Asri
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Juara Piala Emas Raja-Raja tahun ini bakal menerima 'durian runtuh' apabila pemenang bagi edisi 100 tahun itu dijanjikan dua gram emas setiap pemain dan pegawai dengan nilai keseluruhan hampir RM15,000.

Perkara itu disahkan Pengerusi KAB Gold Sdn Bhd, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar yang hadir pada Majlis Pelancaran 100 tahun Piala Emas Raja-Raja di mana pertandingan bola sepak kedua tertua di negara ini selepas Piala Malaysia itu akan membuka tirainya pada Oktober ini.

Beliau yang juga Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) berkata, ganjaran itu diberikan bagi menghangatkan suasana saingan yang sudah memasuki usia ke 100 tahun penganjurannya.

"Saya rasa kita patut membantu walaupun tidak sebesar mana…maka ini inisiatif kepada pemain-pemain yang saya umumkan tadi.

"InsyaAllah pihak syarikat saya, syarikat emas akan menawarkan hadiah dua gram setiap seorang kepada pemain pasukan juara diperingkat akhir nanti yang setiap pemain akan mendapat dua gram seorang untuk dibawa balik sebagai hadiah," katanya pada sidang media pelancaran pertandingan itu.

Ujarnya lagi, beliau juga bersetuju untuk membantu meringankan kos penganjuran dengan menawarkan untuk mengeluarkan emas cop edisi ke-100 Piala Emas Raja-Raja bagi membantu Persatuan Bolasepak Melayu Malaysia (PBMM).

"Dan saya sempat berbisik kepada encik Firdaus (Presiden PBMM) tadi, mungkin kita boleh buat edisi istimewa pada emas edisi ke-100 tahun, untuk dijual kepada peminat bola sepak Malaysia dan peminat emas untuk dibeli sebagai cenderahati untuk kenangan 100 tahun.

"100 tahun bukannya mudah, dan ia luar biasa dan ia juga boleh memberi sumbangan kepada pihak persatuan untuk menjalankan penganjuran," katanya yang juga Penaung Kelab Bolasepak Kedah Darul Aman FC.

Saingan Piala Emas Raja-Raja bakal kembali menghangat arena bola sepak negara selepas dua tahun tidak dapat dianjurkan ekoran pandemik Covid-19.

Pada edisi ke-100 tahun ini, sejumlah 16 pasukan dari seluruh negara akan berentap mulai 1 Oktober ini dan aksi final dijadual berlangsung pada 12 November ini.

Saingan kali ini menyaksikan 16 pasukan dipecahkan kepada empat zon membabitkan Zon Utara (Perlis, Kedah, Penang dan Perak), Zon Tengah (Selangor, Kuala Lumpur, PDRM, Jemputan 1), Zon Selatan (Negeri Sembilan, Melaka ATM dan Johor) dan Zon Timur (Kelantan, Terengganu, Pahang dan Jemputan 2).

Malah format kali ini turut menyaratkan had umur 25 tahun ke bawah dengan maksimum lima saja pemain lebih umur dibenarkan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Ogos 2022 @ 5:42 PM