Bekas pemain Selangor dan Kelab Sultan Sulaiman, Kamal Bahrin (berkerusi roda) menerima sumbangan dari Mohd Firdaus (tiga kiri) ketika hadir menyaksikan perlawanan amal bolasepak persahabatan di Kampung Baru.
Bekas pemain Selangor dan Kelab Sultan Sulaiman, Kamal Bahrin (berkerusi roda) menerima sumbangan dari Mohd Firdaus (tiga kiri) ketika hadir menyaksikan perlawanan amal bolasepak persahabatan di Kampung Baru.
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: "Terima kasih kerana membantu saya. Terima kasih KSS (Kelab Bolasepak Sultan Sulaiman), PBMM (Persatuan Bola Sepak Melayu Malaysia) dan FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia)".

Itu ucapan terima kasih yang dizahirkan bekas pemain bola sepak era 80-an, Kamal Bahrin yang kini menghadapi masalah kesihatan seperti masalah penglihatan dan kencing manis hingga mengakibatkan kakinya terpaksa dipotong.

Justeru, bagi meringankan beban yang ditanggung, KSS dengan sokongan PBMM dan FAM mengambil inisiatif dengan menganjurkan perlawanan amal antara bekas pemain dan KSS yang berlangsung di Padang KSS Rhino, Kampung Baru, di sini, malam tadi.

Hasil perlawanan persahabatan itu, kedua-dua pasukan yang terdiri daripada bekas rakan sepasukan Kamal berjaya mengumpul sebanyak RM3,700 buat meringankan bebannya.

"Saya terharu kerana kawan-kawan sanggup meluangkan masa mengadakan perlawanan amal bagi membantu saya. Terima kasih juga kepada KSS, PBMM dan FAM atas keprihatinan ini.

"Walaupun penglihatan saya kurang, tetapi dapat mendengar suara dan bersembang dengan kawan-kawan lama pun dah gembira," katanya yang kini berusia 62 tahun.

Pemain Veteran KSS dan Veteran Nusantara PBSMM ketika perlawanan amal bolasepak persahabatan bagi Kamal Bahrin di Padang KSS Rhino, Kampung Baru. Owee Ah Chun
Pemain Veteran KSS dan Veteran Nusantara PBSMM ketika perlawanan amal bolasepak persahabatan bagi Kamal Bahrin di Padang KSS Rhino, Kampung Baru. Owee Ah Chun

Dalam aksi persahabatan itu, skuad Pilihan PBMM berjaya menewaskan Pilihan KSS dengan 3-1.

Antara legenda bola sepak tempatan yang turut memeriahkan suasana seperti Khalid Ali, Azlan Johar, Azizul Kamaluddin ramai lagi.

Sementara itu, Naib Presiden FAM, Mohd Firdaus Mohamed yang turut beraksi memperkuatkan pasukan PBMM mahu terus membantu bekas-bekas pemain menerusi program Tanggungjawab Sosial (CSR) seperti ini.

"Ia juga sebenarnya bertepatan dengan amanah dan kesungguhan FAM untuk membantu bekas pemain. Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin amat prihatin dengan usaha ini," katanya yang juga memegang jawatan sebagai Presiden PBMM.

Aksi amal ini adalah usaha berterusan yang dijalankan PBMM apabila sebelum ini turut mengadakan program sama di Kuantan bagi membantu bekas pemain kebangsaan, A Anbalagan dan Aziz Hamid Kupai yang kini bertarung dengan penyakit masing-masing 26 Oktober lalu.

Malah pada September lalu, turut diadakan perlawanan amal bagi mengenang jasa bekas pemain kebangsaan, Zulkifli Norbit yang kini terlantar di rumahnya selepas diserang strok kali kedua.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 November 2021 @ 11:17 PM