PEMAIN PBMM meraikan kejayaan memenangi Piala Menteri Perpaduan selepas menundukkan PBCM, 2-1, di final sempena Hari Malaysia 2023, Ahad lalu.
PEMAIN PBMM meraikan kejayaan memenangi Piala Menteri Perpaduan selepas menundukkan PBCM, 2-1, di final sempena Hari Malaysia 2023, Ahad lalu.
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Melayu Malaysia (PBMM) muncul juara Piala Menteri Perpaduan sempena Hari Malaysia 2023 yang berlangsung di Padang Kelab Aman, Ahad lalu.

Pada aksi final, PBMM menewaskan Persatuan Bolasepak Cina Malaysia (PBCM) dengan keputusan 2-1 di kejohanan yang turut membabitkan Persatuan Sikh Malaysia (SIKH) dan Majlis Sukan India Malaysia (MISC).

Untuk tempat ketiga dan keempat, menyaksikan MISC mudah menundukkan SIKH 2-0.

Menurut Naib Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Mohd Firdaus Mohamed yang juga Presiden PBMM, saingan itu diadakan bagi mengeratkan tali persaudaraan antara kaum menerusi sukan bola sepak.

"Sambutan cukup baik apabila empat persatuan bola sepak membabitkan empat kaum bergabung memeriahkan pertandingan Piala Perpaduan ini.

"Ia satu inisiatif yang menyihatkan, malah dapat mengeratkan perpaduan antara kami. Malah ramai bekas pemain turut hadir bagi memberi sokongan kepada pasukan masing-masing," katanya.

Antara bekas pemain yang menghangatkan acara adalah Datuk Santokh Singh mewakili SIKH; bekas penyerang Kuala Lumpur era 1980an, Datuk Ramlan Askolani yang juga Timbalan Presiden PBMM dan legenda negara, Saidin Osman.

Turut tidak ketinggalan, Timbalan Presiden FAM iaitu Datuk S Sivasundaram yang juga merangkap Timbalan Presiden MISC serta Presiden PBCM, Datuk Wilson Lau Hoi Keong.

Penyerahan trofi kejuaraan disempurnakan Penasihat PBMM, Datuk Suhaimi Ibrahim kepada barisan pemain dan pegawai PBMM.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 September 2023 @ 6:48 PM