NOURI rebah ketika aksi menentang Bremen.
NOURI rebah ketika aksi menentang Bremen.
AFP

The Hague: Ajax berkata mereka akan membayar 7.85 juta euro (RM37 juta) kepada keluarga bekas pemain Abdelhak Nouri yang mengalami kerosakan otak selepas serangan jantung ketika aksi persahabatan lebih empat tahun lalu.

Bekas pemain tengah skuad remaja Belanda, Nouri kini berusia 24 tahun rebah ketika aksi pra musim menentang Werder Bremen pada Julai 2017.

"Persetujuan telah dicapai, jadi kami boleh menutup isu ini. Kami semua menyedari penderitaan Abdelhak dan keluarganya belum berakhir. Ia masih situasi sangat menyedihkan. Itu juga yang kami rasakan di Ajax," kata ketua eksekutif kelab Belanda itu, Edwin van der Sar hari ini.

"Kami amat menghargai cara keluarga Abdelhak menjaganya dengan penuh kasih sayang dan perhatian.

"Keluarganya amat mengalu-alukan kedatangan saya ketika melawatnya. Begitu juga kepada rakan sepasukan dan kami amat menghargainya."

Pada 2018, Ajax bersetuju menanggung bil perubatan sepanjang hayat pemain yang mengalami kerosakan otak dan tak mampu berdikari.

Keluarganya memfailkan saman terhadap Ajax dengan dakwaan pemain itu tidak mendapat rawatan secukupnya selepas rebah di padang akibat masalah jantung.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Februari 2022 @ 8:27 AM