Amsterdam: Pemain tengah Ajax Abdelhak Nouri berada dalam keadaan stabil selepas rebah pada perlawanan persahabatan pramusim bertemu Weder Bremen di Austria, kelmarin.

Pemain berusia 20 tahun itu memerlukan bantuan perubatan di tengah padang sebelum dikejarkan ke hospital dan kelabnya menyatakan dia berada dalam keadaan stabil, denyutan nadi yang baik serta sedang tidur.

Perlawanan itu terpaksa dihentikan dengan Ajax kemudian mendedahkan Nouri mempunyai masalah jantung arrhythmias, situasi yang mana organ itu berdenyut terlalu pantas atau perlahan.

“Kami juga akan menjaganya sebaik mungkin. Doa kami sentiasa bersamanya serta keluarganya,” menurut Ajax dalam Twitter.

Nouri melakukan 15 penampilan untuk kelab Belanda itu musim lalu termasuk tiga perlawanan di Liga Europa. Namun dia tidak dapat beraksi di final ketika pasukannya tewas kepada Manchester United.

Dia adalah pemain kebangsaan Belanda yang lahir di Amsterdam serta ibu bapanya mempunyai keturunan Maghribi.

Insiden itu berlaku sebulan selepas penyerang kebangsaan Ivory Coast, Cheick Tiote rebah ketika menjalani latihan bersama kelab China, Beijing Enterprises sebelum meninggal dunia pada 5 Jun lalu. – Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Julai 2017 @ 6:40 AM