Ten Hag. -FOTO EPA
Ten Hag. -FOTO EPA
AFP

Amsterdam: Erik ten Hag berkata ketika ini 'minda dan tenaganya untuk Ajax' dan menolak untuk memberi komen berhubung kekalahan terbaru Manchester United, pasukan gergasi Inggeris yang akan dikendalikannya musim depan.

Ten Hag menyaksikan pasukannya, Ajax menghampiri kejuaraan liga Belanda dengan kemenangan lewat perlawanan 1-0 menentang NEC hanya beberapa jam selepas United tewas 1-3 kepada Arsenal dalam aksi Liga Perdana.

"Saya tidak mempunyai sebarang pandangan mengenai keputusan Man United kerana saya menghormati mereka yang berada di sana.

"Sekarang saya bertanggungjawab ke atas Ajax dan itulah yang saya ulas," kata Ten Hag berusia 52 tahun.

"Saya sentiasa fokus kepada kerja yang perlu saya lakukan, tidak kira apa yang berlaku di sekeliling saya."

Bagaimanapun dia mengaku sudah memikirkan cabaran yang akan dihadapinya musim depan di England.

"Anda sentiasa menghabiskan masa untuk masa depan tetapi minda dan tenaga saya adalah untuk Ajax," katanya.

Kekalahan United kepada Arsenal hadir selepas mereka turut dibelasah Liverpool pada pertengahan minggu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 April 2022 @ 6:48 AM